VIENTIANE, 17 SEPT – Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-56 dibuka secara rasmi hari ini di Vientiane, Laos.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos, Malaythong Kommasith dan dihadiri menteri ekonomi dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Malaythong Kommasith menekankan bahawa mesyuarat itu menegaskan komitmen negara anggota ASEAN untuk meneruskan kerjasama dalam pelaksanaan Wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dan mentakrifkan visi untuk komuniti sehingga 2045.
Mesyuarat itu berlangsung di tengah-tengah konteks global dan serantau yang kompleks, terutamanya dengan cabaran ekonomi dan kewangan yang berterusan yang berpunca akibat impak pandemik COVID-19, perubahan iklim dan konflik geopolitik di rantau ini dan dunia.
Ia memerlukan perpaduan dan kerjasama yang lebih besar dalam kalangan negara ASEAN untuk mencari penyelesaian yang sesuai kepada cabaran ini dan untuk merealisasikan tema ASEAN 2024, ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan.
Malaythong Kommasith seterusnya menyatakan bahawa ia memberikan peluang dan cabaran kepada rantau ASEAN.
Beliau menekankan kadar purata pertumbuhan ekonomi ASEAN mencecah 4.1 peratus pada 2023 dan dijangka meningkat kepada 4.6 peratus tahun ini. Pelaburan di ASEAN meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus daripada AS$229 bilion pada 2022 kepada AS$230 bilion pada 2023.
Walaupun perdagangan barangan ASEAN menurun daripada AS$3.846 trilion pada 2022 kepada AS$3.525 trilion pada 2023, ia diunjurkan pulih kepada AS$3.617 trilion pada 2024.
Beliau juga menyeru para menteri yang hadir untuk menawarkan sokongan dan maklum balas yang membina untuk membantu mengukuhkan daya tahan AEC sambil menekankan kepentingan memastikan usaha itu memberikan manfaat ketara kepada rakyat ASEAN dan mengesahkan semula peranan utama blok itu dalam mengekalkan kerjasama luar.
Para delegasi pada mesyuarat itu terlibat dalam perbincangan mendalam mengenai beberapa isu utama yang bertujuan untuk meletakkan ASEAN sebagai rantau yang menarik untuk pelaburan asing. Mereka juga meneroka cara untuk menangani cabaran global semasa.
Topik lain yang dibincangkan termasuk pelaksanaan pelan kerja keutamaan kritikal untuk 2024, kemajuan pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2025, dengan visi hingga 2045, pelan pembangunan mampan ASEAN dan kerjasama ekonomi luarnya. – Bernama