Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat hari ini, telah menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) CAUCUS ke-13 yang dihoskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Thailand secara dalam talian, hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Negara Brunei Darussalam menghadiri mesyuarat itu selaku pemerhati yang diwakili oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung AIPA akan datang, Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 10 buah negara ahli AIPA termasuk Negara Brunei Darussalam.
Perkara utama yang dibincangkan adalah mengenai status implementasi resolusi-resolusi Perhimpunan Agung AIPA ke-42 yang telah diluluskan tahun lalu.
Mesyuarat juga turut membincangkan mengenai isu ‘Kerjasama Ekonomi Digital di ASEAN dalam Pasca COVID-19.’
Pada mesyuarat itu, AIPA menyokong perlaksanaan ASEAN dengan mengikuti pelan hala tuju Bandar Seri Begawan Roadmap: BSBR Phase 2 bagi pemulihan ekonomi melalui peralihan kepada pendigitalan untuk mempercepatkan pelan ekonomi digital 2022-2025.
Kenyataan menyatakan, Mesyuarat AIPA CAUCUS kali ini telah sebulat suara meluluskan Laporan Rasmi Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-13.
Laporan tersebut seterusnya akan dibincangkan untuk diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-43 yang bakal dihoskan oleh Perhimpunan Kebangsaan Kemboja pada November depan.