Mesyuarat ASCC kenal pasti penggiatan semula Asean

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Kesan pandemik COVID-19 terus mendorong ASEAN untuk menyesuaikan keadaan kepada situasi dan menerima norma-norma baharu dengan keazaman kuat untuk lebih bersepadu dalam usaha menanganinya.

Ini diketengahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-23, yang diadakan melalui persidangan video kelmarin.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Minister of Labour, Invalids and Social Affairs, Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Dao Ngoc Dung dan disertai oleh menteri-menteri Majlis ASCC dan perwakilan mereka serta setiausaha agung ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, semasa mesyuarat tersebut, menteri-menteri Majlis ASCC bersetuju untuk meneruskan usaha-usaha ASEAN dalam menangani impak pandemik COVID-19 terhadap sosioekonomi rantau ini serta bersetuju untuk mengenal pasti peluang-peluang bagi penggiatan semula rantau ASEAN pasca-pandemik.

Menteri-menteri juga digalakkan dengan sumbangan aktif badan-badan sektoral ASCC kepada respons-respons serantau yang diselaraskan terhadap COVID-19.

Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-23 yang dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui persidangan video.

Inisiatif antara sektor yang bersepadu telah membolehkan penghasilan pelan pemulihan pasca-pandemik yang bertujuan untuk memulihkan pekerjaan dan keadaan kehidupan para pekerja yang terjejas di samping mendorong proses pemulihan golongan-golongan sasaran dari aspek sosial dan ekonomi.

Kenyataan menyatakan, pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menekankan kesalinghubungan tugas ASCC yang penting di samping tonggak-tonggak lain, yang ditekankan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dalam Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 pada April lalu, untuk menangani pandemik, mempersiapkan ASEAN dan menerima norma baharu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengongsikan pandangan mengenai usaha-usaha pemulihan ASCC termasuk kesediaan pasaran buruh pada masa ini dan akan datang dengan memaksimumkan penggunaan platform-platform Revolusi Perindustian ke-4 (IR 4.0) dalam bidang-bidang utama termasuk kesihatan, pendidikan dan maklumat ke arah menjadikan ASEAN lebih didorong inovasi untuk memberikan respons yang berkesan.

Ini adalah sejajar dengan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat terutamanya dari aspek meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baharu dalam kalangan masyarakat.

Usaha lain adalah memastikan sistem perlindungan sosial disesuaikan kepada perubahan semasa dan tiada ketirisan dengan memeduli, melindungi dan menjaga golongan-golongan sasaran termasuk mengutamakan kesihatan mental mereka.

Peningkatan dari aspek penggunaan teknologi turut penting, dalam mana Negara Brunei Darussalam kini telah memperluaskan perlindungan kesihatan dan kebajikan sosial melalui aplikasi BruHealth dan Sistem Kebajikan Negara yang akan dilancarkan pada Julai depan.

Di samping itu, mempersiapkan belia, khususnya dalam memanfaatkan dan menyalurkan idea-idea inovatif dengan menyediakan platform secara berterusan bagi mereka dan menyediakan platform yang bersesuaian dan mengukuhkan kerjasama ke arah mengurangkan kesan negatif akibat penyebaran maklumat dan berita palsu, di samping berusaha untuk mengongsikan maklumat yang tepat pada masanya.

Dalam mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengalu-alukan pelaksanaan Kajian Semula Separuh Penggal ASCC Blueprint 2025 serta penyediaan draf pelan-pelan kerja baharu di bawah badan-badan sektoral ASCC yang membuka peluang perlaksanaan penelitian check and balance ke arah merealisasikan visi komuniti yang mampan, berdaya tahan, dinamik dan inklusif.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa menteri-menteri Majlis ASCC telah menyokong Deklarasi ASEAN mengenai Pembangunan Sumber-sumber Manusia bagi Perubahan Dunia Pekerjaan dan mencadangkan dokumen tersebut untuk dihadapkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36.

Dengan pengesahan deklarasi tersebut, ia dihasratkan untuk mengukuhkan lagi komitmen ASEAN dalam mempereratkan lagi kerjasama dalam sektor buruh, pendidikan dan perniagaan dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran baharu pada masa hadapan serta memajukan lagi pendidikan dan pekerjaan yang inklusif.

Mesyuarat turut mengambil maklum dan menghargai penubuhan ASEAN TVET Council serta inisiatif-inisiatif serantau untuk mempromosikan kesihatan awam, kerja sosial, kerjasama alam sekitar marin dan pemerkasaan wanita.

Menurut kenyataan itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut disertai oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan pegawai-pegawai kanan KKBS.