Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi ASEAN Smart Cities Network (ASCN) 2021 dan wakil kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke ASCN telah mempengerusikan Mesyuarat Tahunan ASCN ke-4 yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, hari ini, mesyuarat berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil kebangsaan dari negara-negara anggota ASEAN, ketua pegawai bandar pintar dari bandar anggota ASCN, ASCN Shepherd dan Sekretariat ASEAN.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta kementerian dan agensi yang berkaitan.
Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat kali ini antara lain bertujuan untuk membincangkan kertas kerja penubuhan ASCN Online Portal dan ASEAN Smart and Sustainable City Investment Toolkit, yang mana ia disasarkan untuk dimuktamadkan pada September 2021.
Mesyuarat turut mengongsikan perkembangan terkini, cabaran dan perancangan seterusnya bagi projek-projek di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar ASCN.

Negara Brunei Darussalam mempunyai dua projek di bawah pelan tindakan berkenaan iaitu Projek Pembangunan Semula Kampong Ayer dan Projek Clean Water River Management.
Kenyataan menyatakan bahawa taklimat mengenai kedua-dua projek berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Pengerusi Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Aminuddin bin Buntar selaku ketua pegawai bandar pintar Bandar Seri Begawan.
Selain itu, rakan dialog dan rakan luar bagi ASCN juga berpeluang untuk memberikan taklimat mengenai perkembangan terkini projek kerjasama bandar pintar. Di samping itu, mesyuarat juga bersetuju bagi Singapura memperbaharui tugasnya sebagai ASCN Shepherd untuk dua tahun akan datang.
Kenyataan menyatakan bahawa peranan utama ASCN Shepherd adalah untuk memberi nasihat dan sokongan kepada pengerusi ASCN, selaras dengan terma rujukan ASCN.
ASCN telah ditubuhkan pada April 2018 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-32, Singapura.
Pada masa ini, ASCN mempunyai 26 bandar anggota dari 10 negara anggota ASEAN, yang mana Bandar Seri Begawan adalah salah satu daripadanya.
Mesyuarat Tahunan ASCN merupakan perjumpaan tahunan bagi membincangkan perkembangan setiap bandar anggota dan cadangan pelancaran projek baharu serta meneroka peluang kerjasama dengan rakan-rakan dialog ASEAN.