Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat ASEAN COSTI ke-78 berakhir

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASEAN COSTI) ke-78 telah diadakan selama dua hari hingga kelmarin melalui persidangan video.

    Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi ASEAN COSTI bagi Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, ASEAN COSTI adalah platform bagi negara-negara ahli ASEAN untuk membincangkan mengenai perkembangan dan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, serta meneliti perkembangan dan pencapaian terkini projek-projek dan inisiatif di bawah ASEAN khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

    Pada tahun ini, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Penyelidikan) di Agency for Science, Technology and Research (A*STAR), Singapura, Profesor Andy Hor.

    Perbincangan semasa mesyuarat tersebut telah menumpukan kepada Penilaian Pertengahan Penggal bagi Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2016 – 2025 dan perkara-perkara utama yang dibincangkan termasuk kolaborasi COVID-19; ASEAN High Performance Computing (HPC) Shared Infrastructure Initiative; dan Fourth Industrial Revolution (4IR) Concept Note.

    Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan pegawai-pegawai kanan di kementerian tersebut.

    Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri mesyuarat ASEAN COSTI ke-78 melalui persidangan video.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda