Mesyuarat AVFMM kongsi inisiatif kurangkan impak virus

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah baru-baru ini menghadiri Mesyuarat Maya Menteri-menteri Kewangan APEC (AVFMM) 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tuan Yang Terutama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di mana mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil dari semua ekonomi APEC, institusi-institusi kewangan antarabangsa yang dijemput dan pemerhati-pemerhati termasuk Asian Development Bank, World Bank Group, APEC Business Advisory Council (ABAC) dan Pacific Economic Cooperation Council.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Norliah binti Haji Kula serta pegawai-pegawai hal ehwal antarabangsa di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Semasa sesi plenari AVFMM, para menteri yang bersidang berkongsi intervensi monetari dan fiskal ekonomi mereka yang bermatlamat untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta bertukar-tukar pandangan mengenai peranan

pendigitalan dalam menjaga perniagaan supaya terus bertahan dan ekonomi terus mampan semasa pandemik.

Pada mesyuarat itu, institusi-institusi kewangan antarabangsa dan pemerhati juga menyediakan peluang untuk berkongsi inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh mereka dalam membantu mengurangkan impak COVID-19 serta perspektif mereka mengenai tinjauan ekonomi global dan serantau.

Menurut kenyataan itu lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ulasannya mengetengahkan mengenai pakej respons COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang memberikan penekanan kepada menyokong perniagaan, melindungi pekerjaan dan memastikan kesejahteraan penduduk.

Yang Berhormat Dato juga menekankan pentingnya kerjasama APEC dalam mengemudi ekonomi semasa tempoh tidak menentu itu dan ke arah membangunkan ekonomi serantau.

Mengakui akan peranan forum berkenaan sebagai inkubator idea, beliau menyeru APEC untuk menerokai inisiatif-inisiatif mencari jalan atau amalan terbaik yang boleh menjana landskap serantau inovasi teknologi kewangan yang lebih berintegrasi dan berkawal selia selaras dengan kesesuaian teknologi kewangan dalam meningkatkan perdagangan digital serta menyediakan penyelesaian ekonomi inovatif bagi PMKS.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menghadiri Mesyuarat Maya Menteri-menteri Kewangan APEC (AVFMM) 2020 yang berlangsung pada 25 Sept lalu. – Gambar serahan Kementerian Kewangan.