Mesyuarat beriga peraturan perlawanan bola sepak

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bagi menentukan giliran perlawanan serta memberigakan beberapa peraturan bola sepak yang kini diguna pakai, Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait telah mengadakan mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan yang akan menyertai Kejohanan Bolasepak Daerah Belait 2020, baru-baru ini.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi kejohanan, Pengiran Saiful Redzalli bin Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh yang antara lain mengharapkan pasukan-pasukan yang bertanding supaya dapat bermain dengan semangat kesukanan dan setia kawan agar kejohanan ini berjalan dengan baik dalam suasana yang harmoni di kalangan pasukan-pasukan yang bertanding.

Sementara itu, Timbalan Yang DiPertua Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait, Awang Morni bin Haji Zakaria selaku timbalan pengerusi kejohanan pula menyampaikan taklimat ringkas mengenai peraturan-peraturan perlawanan, diikuti dengan taklimat mengenai peraturan bola sepak yang disampaikan oleh wakil dari Persatuan Pengadil Bolasepak Daerah Belait, Pengirang Haji Mohd Saiful Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.

Sebanyak sembilan pasukan terdiri daripada HR FT, 11 Celtic, Akhdan St, Nusantara FC, Tanoshi FC, Nelayan Ft, Hoist FC, Hawa Ft, dan Mangelella FC akan menyertai perlawanan tersebut.

Perlawanan pertama akan berlangsung pada 7 Mac 2020, di antara Pasukan HR FT bertemu 11 Celtic dan perlawanan kedua di antara Akhdan ST dengan Nusantara FC akan dijalankan pada hari Ahad 14 Mac 2020.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Arena Seria. Orang ramai dan peminat sukan bola sepak khususnya di Daerah Belait dialu-alukan datang untuk menyaksikan perlawanan bagi memeriahkan lagi kejohanan ini.

Penganjur kejohanan bergambar bersama wakil pasukan yang menyertai kejohanan tersebut. – Gambar serahan PBDB