Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Pertama telah diadakan baru-baru ini di Palm Springs, California, Amerika Syarikat (AS).
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi APEC SOM 2023, Michael J Pyle itu juga dihadiri oleh wakil dari APEC Economies, wakil dari APEC Business Advisory Council (ABAC), Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik dan organisasi antarabangsa jemputan lain.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Perindustrian), di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Kenyataan daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengongsikan bahawa APEC SOM itu, pertama dalam siri SOM yang dijadualkan pada 2023 di bawah tuan rumah APEC AS, didahului oleh mesyuarat berformat seperti Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan, Perkongsian Dasar Wanita dan Ekonomi, Jawatankuasa Ekonomi, Kumpulan Kerja Kesihatan, dan Kumpulan Mobiliti Perniagaan.
Di bawah tema APEC 2023 iaitu ‘Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua’, pegawai-pegawai kanan bertukar-tukar pandangan mengenai tindakan yang akan membangunkan wilayah yang berdaya tahan dan saling berkaitan bertujuan memajukan kemakmuran ekonomi yang meluas; mewujudkan persekitaran yang inovatif untuk masa depan yang mampan; dan memastikan masa depan yang saksama dan inklusif bagi semua.
Dalam kenyataannya, Awang Mohammad Harris mengalu-alukan dasar utama APEC pada tahun 2023, dan menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam untuk bekerjasama secara kolektif dengan ekonomi-ekonomi dalam memupuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang di rantau ini melalui promosi perdagangan dan pelaburan serta persekitaran yang sesuai untuk pembangunan mampan dan inklusif.
Usaha-usaha yang dilaksanakan termasuk kerjasama APEC untuk memudahkan lagi perdagangan, mempertingkat perdagangan digital, memperkasakan PMKS dan wanita, sementara menyeru penglibatan sektor awam-swasta bagi memajukan agenda kemapanan rantau ini.
Di samping itu, AS bercadang untuk menganjurkan beberapa mesyuarat peringkat tinggi pada tahun 2023, termasuk Mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan, Mesyuarat Menteri Pengangkutan, Mesyuarat Menteri Tenaga dan Mesyuarat Menteri Keselamatan Makanan dan berakhir dengan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC pada November 2023 di San Francisco, AS.
ABAC, cabang sektor swasta APEC, juga akan mengadakan mesyuarat mereka sendiri sepanjang tahun, dengan mesyuarat keduanya akan dihoskan oleh Anggota ABAC Negara Brunei Darussalam pada April 2023 di Negara Brunei Darussalam.
