Mesyuarat bincang FTA ASEAN-Kanada

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Promosi Eksport, Perniagaan Kecil dan Perkembangan Ekonomi Kanada, Puan Yang Terutama Mary Ng telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Konsultasi Menteri-menteri ASEAN-Kanada ke-10 (AEM-Canada ke-10) yang berlangsung secara maya, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, hari ini, mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi negara-negara anggota ASEAN (AMS) dan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir pada mesyua-rat itu ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin serta pegawai-pegawai Bahagian Perdagangan.

Hasil utama mesyuarat itu adalah pelancaran rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Kanada, yang merupakan salah satu daripada Priority Economic Deliverables (PEDs) Negara Brunei Darussalam pada 2021. Setelah FTA dimuktamadkan, ia dijangka memberi impak positif dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala di antara ASEAN dan Kanada.

Sebagai FTA pertama dengan Amerika Utara, perjanjian itu dijangka akan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) ASEAN sebanyak AS$39.4 bilion iaitu 1.6 peratus dan KDNK Kanada sebanyak AS$5.1 bilion iaitu 0.3 peratus.

FTA itu juga akan memberi ASEAN akses kepada pasaran Kanada yang mempunyai penduduk seramai 38 juta orang dengan KDNK AS$1.64 trilion.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai status kemajuan Pelan Kerja 2021 – 2025 untuk melaksanakan Deklarasi Bersama ASEAN-Kanada bagi Perdagangan dan Pelaburan (JDTI) serta status projek pembinaan kapasiti di bawah Mekanisma Penggunaan Pakar untuk Perdagangan dan Pembangunan (EDM) dan Dasar Perdagangan.

Mesyuarat sehari itu merupakan perundingan tahunan di antara AMS dan Kanada, iaitu salah sebuah rakan dialog ASEAN.

Mesyuarat itu juga memberi peluang bagi menteri-menteri ekonomi dan Majlis Perniagaan Kanada-ASEAN (CABC) untuk bertukar-tukar pandangan dan memberikan cadangan mengenai isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan kesan COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan PYT Mary Ng mempengerusikan bersama AEM-Kanada ke-10 yang berlangsung secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Kem. Kewangan dan Ekonomi