Mesyuarat bincang inisiatif AIIB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menghadiri Mesyuarat Tahunan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) Board of Governors (BOG) ke-6 selaku naib pengerusi Mesyuarat AIIB BOG dan gabenor Brunei Darussalam di AIBB yang berlangsung secara maya pada 26 Oktober.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, hari ini, turut hadir di mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang juga alternate governor of Brunei Darussalam at the AIIB dan Setiausaha Tetap (Pelaburan), Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Mesyuarat tahunan yang membawa tema, Investing Today, Transforming Tomorrow, bermula dengan ucaptama oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Ini diikuti dengan kata alu-aluan oleh Pengerusi AIIB BOG dan Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE, Tuan Yang Terutama Dr Sultan Al Jaber; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew serta Naib Pengerusi Lembaga Gabernor, AIIB dan Presiden Switzerland, Tuan Yang Terutama Guy Parmelin.

Kenyataan menyatakan bahawa Presiden AIIB, Tuan Yang Terutama Jin Liqun turut mengongsi mengenai perkembangan dalam inisiatif-inisiatif bank berkenaan.

Dalam kapasitinya selaku Naib Pengerusi Mesyuarat AIIB BOG, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan kenyataan yang memberikan penekanan kepada tiga bidang penting yang mampu membentuk masa hadapan.

Bidang penting berkenaan adalah meningkatkan pelaburan untuk meningkatkan kemapanan dan infrastruktur berdaya tahan bagi menyokong pemulihan semula aktiviti-aktiviti ekonomi, perkhidmatan dan perdagangan merentas sempadan serta pergerakan orang, menubuhkan ekosistem kondusif yang mempromosikan pendigitalan dan membolehkan semua pihak yang berkepentingan untuk meraih manfaat daripada platform digital dan teknologi yang selamat dan dapat diakses serta mengimbangi di antara mengejar pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri Mesyuarat Tahunan AIIB BOG ke-6 yang berlangsung secara maya pada 26 Oktober. – Gambar serahan Kem. Kewangan dan Ekonomi