Mesyuarat bincang kembangkan sukan golf tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Majlis Persatuan Golf Brunei Darussalam (BDGA) baru-baru ini telah mengadakan perjumpaan untuk membincangkan rancangan kerja bagi tahun 2021-2023.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Presiden BDGA, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden 1, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar; Timbalan Presiden 2, Dato Seri Setia Haji Mustappa Sirat serta jemputan-jemputan khas yang lain.

BDGA menyedari cabaran yang akan dilalui sepanjang program mereka yang akan membantu mengembangkan dan mempromosikan sukan golf di Negara Brunei Darussalam, di mana mereka akan untuk terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BNOC).

BDGA menyedari ia perlu menyusun dan melaksanakan rancangan yang spesifik, dapat diukur, dapat dicapai, realistik dan terikat waktu, untuk mencapai tujuan dan objektif.

Sesi bergambar ramai selepas mesyuarat BDGA bersama YAM Pengiran Muda Abdul Hakeem, YAM Pengiran Anak Haji Mohammed Al-Mokhtar serta ahli-ahli BDGA. – Gambar serahan BDGA

Walaupun banyak projek-projek yang dikenal pasti memerlukan kolaborasi dan input dari pelbagai pihak, dua daripadanya telah dapat dilaksanakan.

Manakala BDGA juga akan menyelaraskan pemain golf handicaps di Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu keutamaan mereka yang mana bekerja dengan ahli kelab gabungan di negara ini untuk diselaraskan dengan standard antarabangsa.

Selain itu, BDGA turut merancang untuk menggunakan sistem WHS dalam beberapa bulan mendatang.

BDGA juga komited untuk membantu mengatur lebih banyak kejohanan golf di Negara Brunei Darussalam serta akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan khususnya rakan korporatnya pada suku pertama 2021. Kejohanan seperti itu diharap dapat menyediakan platform bagi pemain golf tempatan untuk meningkatkan prestasi mereka dan cemerlang melalui pertandingan.

BDGA berharap mendapat lebih banyak sokongan dalam menyampaikan lebih banyak projek kepada pemain golf dari semua peringkat di Negara Brunei Darussalam dalam beberapa bulan mendatang.