Mesyuarat bincang kukuhkan hubungan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan Australia telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas di samping Mesyuarat Retreat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di sini, hari ini, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan Australia dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi ADMM 2021 dan Menteri Pertahanan Australia, The Honorable Peter Dutton MP.

Kenyataan menyatakan bahawa semasa mesyuarat itu, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan Australia serta wakil-wakilnya membincangkan cara-cara untuk mengukuhkan lagi penglibatan dengan kedua-dua pihak, menyelaraskan aktiviti dan keutamaan serta meneroka hala tuju masa hadapan dengan visi bahawa kedua-dua ASEAN dan Australia boleh mendapat manfaat bersama dalam usaha berkenaan.

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan pengumuman Australia untuk menyertai mekanisme ASEAN Direct Communications Infrastructure (ADI) yang telah diperkenalkan oleh Negara Brunei Darussalam semasa Negara Brunei Darussalam mempengerusikan ASEAN pada 2013.

Menteri-menteri pertahanan ASEAN dan wakil masing-masing menyatakan penghargaan mereka kepada Australia atas komitmen yang utuh di dalam platform ADMM-Plus khususnya pengerusian bersama Australia dengan Negara Brunei Darussalam dalam Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus mengenai Perubatan Tentera bagi kitaran semasa tahun 2021-2023.

Australia melakar sejarah dalam ASEAN dengan menjadi rakan dialog pertama ASEAN pada 1974. Sejak penubuhan ADMM-Plus pada 2010, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan Australia telah diadakan buat julung kalinya di samping Retreat ADMM di Hanoi, Vietnam, pada Februari 2020.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan