Mesyuarat bincang Pelan Kerja ACWC

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku focal point kebangsaan Jawatankuasa ASEAN mengenai ASEAN kini sedang menghoskan beberapa mesyuarat ASEAN di peringkat pegawai-pegawai kanan dan satu forum serantau berkaitan hal ehwal wanita bermula kelmarin hingga 12 Oktober.

Sesi permesyuaratan tersebut telah dimulakan dengan Mesyuarat Suruhanjaya ASEAN bagi mempromosi dan melindungi Hak-hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) ke-19 yang diadakan selama dua hari di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi ACWC, Wanchai Roujanavong dan dihadiri oleh seramai 39 orang pesuruhjaya ACWC, urus setia ASEAN dan pegawai-pegawai focal point kebangsaan ACWC dari semua negara anggota ASEAN.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Pesuruhjaya ACWC bagi Hal Ehwal Kanak-kanak, Dato Paduka Dr Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan Pesuruhjaya ACWC bagi Hal Ehwal Wanita, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohammad Jamil Al-Sufri.

Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah status pelaksanaan Pelan Kerja ACWC 2016-2020 serta projek-projek kolaborasi antara ACWC dengan badan-badan antarabangsa yang berkaitan.

Suasana semasa mesyuarat tersebut dijalankan.