Mesyuarat bincang pelan kerja perdagangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin telah mempengerusikan Konsultasi ASEAN SEOM-Rakan Dialog yang diadakan secara maya pada 5, 11 dan 16 Ogos lalu melalui persidangan video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, siri mesyuarat maya berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai ekonomi kanan daripada 10 buah negara anggota ASEAN (AMS) dan rakan-rakan dialognya termasuk Australia dan New Zealand, Kanada, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah (EU), Hong Kong, China, India, Jepun (METI), Republik Korea (ROK), Rusia, Switzerland, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (US) serta pegawai-pegawai kanan dari Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat-mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan mengenai perkembangan dan pelan kerja perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan setiap rakan dialog, sebagai persediaan bagi Konsultasi Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Rakan Dialog yang dijadualkan untuk diadakan pada September 2021.

Menurut kenyataan itu, bagi Konsultasi SEOM-Kanada ke-14 pada 5 Ogos lalu, mesyuarat antara lain mengambil maklum mengenai pelan kerja untuk melaksanakan Deklarasi Bersama ASEAN-Kanada bagi Perdagangan dan Pelaburan (JDTI) dan perbincangan berterusan terhadap kerja rujukan untuk kemungkinan sebuah perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-Kanada serta persiapan pengumuman pelancaran untuk kemungkinan rundingan bagi FTA ASEAN-Kanada pada Konsultasi AEM-Kanada ke-10 yang dijadualkan pada September 2021.

Konsultasi SEOM-ROK ke-35 pada 5 Ogos lalu pula mengambil maklum mengenai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Perjanjian Bebas Perdagangan ASEAN-Korea (AKFTA-IC) ke-18 yang diadakan secara maya pada 27 Julai lalu, terutamanya langkah-langkah seterusnya dalam liberalisasi produk-produk Sensitive Track di bawah Perjanjian ASEAN-Korea Perdagangan dalam Barangan (AKTIG) serta jalan ke hadapan bagi kemungkinan kajian AKFTA.

Dr Hajah May Fa’ezah semasa mempengerusikan Konsultasi ASEAN SEOM- Rakan Dialog yang diadakan secara maya pada 5, 11 dan 16 Ogos 2021 melalui persidangan video. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Manakala itu, bagi Konsultasi SEOM-Hong Kong, China (HKC) ke-9 yang diadakan pada 5 Ogos, mesyuarat berkenaan mengambil maklum mengenai penyerahan enakmen pihak bagi pelaksanaan Jadual Pengurangan Tarif (TRS) masing-masing dalam HS2017 dan perkembangan persiapan data kepada Sekretariat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) berikutan dengan pengedaran pemberitahuan WTO pada 11 Februari lalu.

Sementara itu, semasa Konsultasi SEOM-Penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AUSTR) ke-34 pada 11 Ogos, mesyuarat mengambil maklum akan perkembangan pelaksanaan susunan rangka kerja pelaburan dan perdagangan ASEAN-US 2020-2021 dan Pelan Kerja Inisiatif-inisiatif Penglibatan Ekonomi yang Diperluaskan (E3) serta juga membincangkan pemuktamadan 2021-2022 TIFA dan Pelan Kerja E3 untuk sokongan menteri-menteri pada September depan.

Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai perkembangan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan di bawah US-ASEAN Connect dan Program Bantuan Teknikal US bagi Inclusive Growth in ASEAN through Innovation, Trade and E-Commerce (IGNITE).

Bagi Konsultasi SEOM-India ke-34 pada 11 Ogos, mesyuarat antara lain berbincang mengenai Scoping Paper bagi Review of the ASEAN-India Trade in Goods Agreement (AITIGA) dan melihat ke hadapan bagi penyelesaiannya sebelum Konsultasi AEM-India pada September.

Konsultasi SEOM-Rusia ke-13 pada 11 Ogos pula mengambil maklum mengenai status pelaksanaan Pasca-Program Kerja Kerjasama Pelaburan dan Perdagangan ASEAN-Rusia 2017 serta juga membincangkan Peta Jalan Kerjasama Pelaburan dan Perdagangan ASEAN-Rusia yang disemak semula dan Program Kerja Pelaburan dan Perdagangan ASEAN-Rusia bagi 2021-2025.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi Konsultasi SEOM-UK pertama pada 11 Ogos, mesyuarat mendengarkan taklimat mengenai perkembangan kerjasama ekonomi ASEAN-UK 2020-2021 termasuk laporan Program Sokong Ekonomi Dipercepatkan COVID-19 dan Rantaian Bekalan ASEAN-UK (ACES).

Mesyuarat itu juga mengambil maklum akan perkembangan draf Deklarasi Bersama ASEAN-UK bagi Kerjasama Ekonomi Masa Depan untuk kemungkinan disokong oleh para menteri pada September.

Bagi Dialog SEOM-Switzerland pada 11 Ogos, mesyuarat membincangkan mengenai pemuktamadan Deklarasi Bersama Kerjasama antara ASEAN-European Free Trade Association (EFTA) dan juga membincangkan mengenai aktiviti-aktiviti dicadangkan bagi kemungkinan kerjasama ekonomi di bawah ASEAN-Switzerland Practical Corporation Areas (PCA) 2022-2026.

Sementara itu, bagi Konsultasi SEOM-ASEAN, Australia dan New Zealand (Closer Economic Relations-CER) ke-39 pada 16 Ogos, mesyuarat diberikan taklimat mengenai perkembangan Rundingan Naik Taraf AANZFTA (Upgrade Negotiations) dan pelaksanaan Perjanjian Kawasan Bebas Perdagangan ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).

Bagi Konsultasi Second SEOM-Ministry of Economy, Trade and Industry (METI), Japan of the Twenty-Sixth AEM-Meti Consultations (SEOM-METI 2/26) pada 16 Ogos, mesyuarat mengambil maklum akan status ratifikasi dan berkuat kuasa Protokol Pertama untuk Pindaan Kerjasama Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) serta peralihan Jadual Pengurangan Tarif AJCEP dalam HS 2017.

Semasa Konsultasi SEOM Plus China-Jepun-Korea ke-38 pada 16 Ogos, mesyuarat menyediakan input bagi draf Program Kerja Kerjasama Ekonomi ASEAN Plus Three 2021-2022 dan membincangkan perkembangan laporan pemantauan bagi Pelan Tindakan ASEAN Plus Three (APT POA) bagi Mengurangkan Impak Ekonomi Pandemik COVID-19.