Mesyuarat bincang pelan strategik SEAMEO

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Cadangan rancangan pelan strategik Organisasi Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi tahun 2021 hingga 2030 yang menggariskan hala tuju SEAMEO untuk dekad berikutnya dalam meningkatkan persefahaman, kerjasama dan kesatuan tujuan serantau adalah antara yang dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAMEO, hari ini.

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu disertai oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut yang diadakan di Dewan Persidangan 1, Bangunan Lama Kementerian Pendidikan adalah beberapa pegawai dari Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, ia merupakan mesyuarat yang diadakan setiap tahun bagi para pegawai kanan SEAMEO yang dilantik.

Keahlian mesyuarat tahun ini terdiri daripada para pegawai kanan dari Malaysia selaku pengerusi majlis SEAMEO, Indonesia selaku pengerusi majlis SEAMEO sebelum ini, Singapura selaku pengerusi majlis SEAMEO yang akan datang, dan Brunei Darussalam bersama Vietnam, masing-masing selaku ahli yang telah dilantik.

Sementara itu, pengarah Sekretariat SEAMEO hadir selaku ahli ex-officio.

Ahli jawatankuasa eksekutif berperanan untuk memberikan nasihat kepada pegawai-pegawai kanan SEAMEO mengenai teras dan usaha-usaha unit-unit di bawah SEAMEO, menetapkan hala tuju dan memberikan cadangan mengenai pentadbiran Sekretariat Serantau SEAMEO serta pembangunan SEAMEO secara keseluruhannya.

Mesyuarat telah diakhiri dengan persetujuan mengenai beberapa agenda yang akan dihadapkan kepada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan SEAMEO pada bulan November ini.

Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bersama beberapa ahli jawatankuasa eksekutif lain semasa mesyuarat secara dalam talian berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan