Mesyuarat bincang perkembangan projek

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Mesyuarat Khas Pegawai-Pegawai Kanan bagi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan ke-41 (SSOM-41st AMAF) telah diadakan secara persidangan video di Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat SSOM-41st AMAF, di sini, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku pengerusi bagi SSOM-41st AMAF.

Hajah Tutiaty dalam kata alu-aluannya antara lain menyatakan tahniah atas sumbangan besar, kerja keras dan komitmen dari semua kumpulan kerja sektoral, jawatankuasa bersama dan juga kumpulan kerja pakar atas pelaksanaan pelbagai projek di bawah SSOM-AMAF yang meliputi pelbagai sektor termasuk sekuriti makanan, pertukaran maklumat dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan sumber manusia serta pertanian dan industri berkaitan perhutanan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa mesyuarat menyatakan perasaan puas hati mengenai perkembangan yang dibuat dalam pelaksanaan Pelan Strategik Pertanian Makanan dan Perhutanan (SP-FAF) 2016-2025 termasuk pencapaian dalam perkara-perkara utama pada 2020.

Mesyuarat itu juga bersetuju terhadap Proposed Key Indicative Deliverables for 2021 FAF Sector serta mengambil maklum mengenai perkembangan yang dibuat bagi aktiviti kerjasama sektor utama yang berkaitan dengan makanan, pertanian, ternakan, perikanan dan perhutanan pada 2020.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa pada hari yang sama dengan SSOM-41st AMAF, Mesyuarat Khas Pegawai-pegawai Kanan bagi Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan Plus Three ke-19 (SSOM-19th AMAF+3) dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertanian ASEAN-Persekutuan Rusia (ARSOMA) juga diadakan menerusi persidangan video.

Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, KSSUP, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan serta Jabatan Perhutanan.

Hajah Tutiaty semasa mempengerusikan Mesyuarat SSOM-41st AMAF secara persidangan video yang berlangsung di Bandar Seri Begawan pada 5 Ogos. – Gambar serahan KSSUP