Mesyuarat bincang projek dalam sektor penerangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Negara Brunei Darussalam hari ini menyertai Mesyuarat ke-6 Pegawai-pegawai Kanan yang Bertanggungjawab mengenai Penerangan bagi Kumpulan Kerja Maklumat, Media dan Latihan (SOMRI WG-IMT) melalui persidangan video yang diadakan di Bilik Serbaguna, Jabatan Penerangan.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, mesyuarat antara lain telah membincangkan mengenai projek dan aktiviti yang sedang berjalan di sektor penerangan dan media seperti Projek Promotion of Media and Information Literacy, Study on the Information and Media Landscape of ASEAN dan ASEAN Task Force on Fake News.

Beberapa projek latihan baharu yang berkaitan dengan kewartawanan dalam isu krisis kesihatan semasa pandemik iaitu AIBD/ASEAN Sub-Regional Online Media Dialogue on Revitalizing Media Credibility in the Era of Infodemic dan juga ASEAN/AIBD Creating Knowledgeable Journalists in an Era of Health Uncertainty turut dibincangkan dan mendapat sokongan daripada setiap negara anggota ASEAN semasa mesyuarat tersebut.

Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Setiausaha Rendah di Kementerian Maklumat Kemboja, Has Sam Ath sementara Sub Penyelaras Post and Informatics Operations, and Public Information-Communications bagi Hal Ehwal Serantau Indonesia, Republik Indonesia, Dian Wulandari telah dilantik sebagai timbalan pengerusi mesyuarat.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim selaku pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (COCI) Negara Brunei Darussalam dan disertai oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim; Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Radio Televisyen Brunei, Frankie Chan Siong dan pegawai-pegawai daripada Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan.

Mesyuarat juga dihadiri oleh wakil-wakil daripada negara-negara anggota ASEAN dan wakil daripada Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat ke-7 bakal dipengerusikan oleh kerajaan Kemboja yang akan diadakan tentatif pada Julai 2022.

Antara yang menyertai mesyuarat yang diadakan secara maya itu. – Gambar serahan Jabatan Penerangan, JPM.