Mesyuarat bincang respons COVID-19 terhadap buruh

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kerajaan Negara Brunei Darussalam meletakkan tiga tunggak utama sebagai asas kepada dasar respons pandemik COVID-19 iaitu kebajikan orang awam, bantuan bagi majikan dan pekerja serta sokongan bagi perniagaan atau perusahaan.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam kenyataannya semasa Mesyuarat Istimewa Menteri-menteri Buruh ASEAN bagi Respons kepada Impak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) Terhadap Buruh dan Pekerjaan menerusi persidangan video, hari ini.

Mesyuarat istimewa berkenaan dirasmikan dan dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M Saravanan dan disertai oleh menteri-menteri buruh ASEAN serta Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Dalam mesyuarat itu juga, Yang Berhormat Pehin berkongsi pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menangani impak daripada pandemik yang melanda pada masa ini.

Beliau juga menyatakan bahawa Brunei tidak melaksanakan penyekatan dan penutupan seluruh negara di mana kerajaan Brunei terus mengekalkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan penjanaan pekerjaan menerusi kurus-kurus bagi reskilling, program Perantisan i-Ready, inisiatif-inisiatif oleh JobCentre Brunei dan platform-platform e-dagang baharu yang diperkenalkan.

Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa dalam normal baharu ini, banyak yang boleh dilakukan apabila ASEAN telah mencapai ke peringkat pemulihan pasca COVID-19 untuk memastikan kedayatahanan rantau ini.

“Kita harus mempromosi dasar-dasar pasaran buruh aktif, terus untuk mengekalkan standard kesihatan, keselamatan dan pekerjaan serta mengenal pentingnya peranan sistem sekuriti sosial dalam mengekalkan pekerjaan dan mengurangkan kelemahan serta pendedahan pekerja-pekerja berisiko,” jelasnya.

Dalam kenyataannya lagi, Yang Berhormat Pehin teringat akan perpaduan rantau ASEAN yang mana ia merupakan persatuan negara-negara berdaya tahan dan daya tanggapan yang tajam di mana ia terus membangun dengan kuat bukan sahaja kerana jarak dekat sebagai jiran, tetapi juga disebabkan keterbukaan untuk berkomunikasi dan bekerjasama dalam masa yang mencabar serta yakin bahawa dengan masa dan kesabaran, mereka akan mengatasi rintangan ini.

Semasa mesyuarat istimewa berkenaan, menteri-menteri bersidang mempersetujui kenyataan bersama yang mengambil maklum mengenai pertukaran-pertukaran peringkat tinggi yang telah berlaku antara menteri-menteri kesihatan dan ekonomi ASEAN, mengakui Deklarasi Sidang Kemuncak ASEAN Istimewa bagi COVID-19 yang berlangsung pada 14 April yang disokong oleh pemimpin-pemimpin negara ASEAN.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa Mesyuarat Istimewa Menteri-menteri Buruh ASEAN, kelmarin.