Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Komanwel ke-34, 2022 yang bersidang secara dalam talian pada 17 dan 19 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mesyuarat yang membawa tema The Road to COVID-19 Recovery: Lessons Learnt for Building Health System Resilience to Advance UHC and Global Health Security in the Commonwealth itu turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kesihatan.
Mesyuarat dirasmikan dengan ucapan daripada Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Komanwel ke-34, 2022 iaitu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Jamaica, Dr Christopher Tufton dan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland.
Perbincangan mesyuarat diisikan dengan pembentangan daripada wakil negara-negara anggota di setiap rantau yang menumpukan kepada tindak balas dan strategi COVID-19 ke arah memastikan pemulihan yang berkesan termasuk pengukuhan sistem daya ketahanan kesihatan dan penyelenggaraan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang penting.
Mesyuarat turut memberikan tumpuan dan menekankan kepentingan ke atas tiga sub tema iaitu ‘Pengurusan Pandemik Efektif’, ‘Mengukuhkan Kesihatan Digital’ dan ‘Mengekalkan Perolehan Kesihatan’.

Ketiga-tiga sub tema itu menjurus kepada pengajaran yang diperoleh daripada pandemik COVID-19 dalam mempermudah proses pemulihan dan memastikan amalan terbaik untuk kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kesihatan secara berterusan daripada sebarang ancaman pada masa hadapan. Negara-negara anggota juga berpeluang untuk mengongsi dan mengetengahkan kaedah dan amalan terbaik serta usaha sama serantau dalam memanfaatkan inovasi kesihatan digital yang dibangunkan semasa COVID-19, demi membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan memberikan kesaksamaan kepada semua.
Ini menjurus kepada penyelarasan dasar kesihatan penting yang perlu dibincangkan sebagai persediaan bagi Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang bakal menjelang pada Jun 2022.
Kenyataan turut menyatakan bahawa mesyuarat telah menghasilkan satu kenyataan menteri-menteri yang menggariskan dasar yang boleh diguna pakai dan segala kemajuan yang dihasilkan daripadanya yang dapat dikongsi secara berkala.
Selain itu, mesyuarat juga diharapkan akan menggalakkan komitmen di peringkat menteri dalam memberikan kerjasama dan memperkembangkan inovasi sektor kesihatan di dalam tempoh pemulihan COVID-19 serta seterusnya meningkatkan daya tahan sistem kesihatan demi mencapai Liputan Kesihatan Universal (UHC).