Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Komanwel (CFMM) melalui persidangan video, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dan Pembangunan Ekonomi, Botswana, Tuan Yang Terutama Dr Thapelo Matsheka itu dihadiri oleh menteri-menteri kewangan dari negara-negara Komanwel serta Setiausaha Agung Komanwel.
Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan yang membawa tema ‘Agenda Pemulihan Komanwel’ itu, menteri-menteri kewangan Komanwel membincangkan mengenai isu-isu berkaitan dengan usaha untuk mengukuhkan kemapanan fiskal jangka panjang dan memandu ketahanan pekerjaan serta pertumbuhan ke arah pemulihan ekonomi global yang baharu berikutan dengan penularan pandemik COVID-19.
Kenyataan juga menyatakan bahawa turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Norliah binti Haji Kula serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Dalam mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam intervensinya, mengenal pasti peranan penting Institusi Kewangan Antarabangsa (IFI) dalam menyokong usaha negara-negara dalam pengurangan kesan semasa pandemik COVID-19 dan menyeru institusi-institusi berkenaan untuk melaksanakan peminjaman yang fleksibel serta pada masa yang sama memastikan kema- panan sumber jangka panjang mereka.
Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kriteria penilaian IFI dalam mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi sokongan harus lebih holistik dengan mengambil kira kelemahan dan latar belakang ekonomi terutama dalam hal negara-negara kecil.
Kenyataan menyatakan bahawa CFMM mengalu-alukan pelancaran Portal Kewangan Risiko Bencana Komanwel, http://drf.thecommonwealth.org/, iaitu sebuah repositori maklumat mengenai pelbagai instrumen kewangan yang terdapat untuk membantu negara-negara anggota mengurus kesan kewangan daripada bencana alam. Manakala itu, Kenyataan Menteri-menteri Kewangan Komanwel bagi COVID-19 telah dipersetujui oleh menteri-menteri kewangan dan boleh didapatkan di laman sesawang https://thecommonwealth.org/.