Mesyuarat eksekutif OANA di Hanoi minggu ini

HANOI, 18 April – Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) akan mengadakan mesyuarat lembaga eksekutif selama tiga hari di Hanoi minggu ini, bagi membincangkan cabaran dihadapi pertubuhan itu dalam era digital dan kaedah meningkatkan kecekapan penerbitan berita, lapor agensi berita Yonhap memetik pihak penganjur pada Khamis.

Mesyuarat ke-44 OANA, bermula Jumaat itu menghimpunkan perwakilan dari 13 ahli Lembaga Eksekutif OANA dan enam ahli umum. Sejumlah 19 ahli itu termasuk agensi berita Azerbaijan Azertac, yang menjadi pengerusi OANA, tahun ini jawatan itu akan diambil alih oleh agensi berita Yonhap Korea Selatan.

Ahli OANA terdiri IRNA, agensi berita China Xinhua, agensi berita Itar-Tass, berita Kyodo Jepun, Press Trust of India, Associated Press Australia, agensi berita Vietnam, agensi berita Turki Anadolu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Antara, Mongolia Montsame, Kazakhstan Kazinform, agensi berita Bahrain, agensi berita Emiriah Arab Bersatu, KPL Laos, AKP Kemboja dan MEHR Iran.

Ketua Pengarang Yonhap, Cho Sung Boo dan wartawan kanannya, Lee Dong Min, antara calon Setiausaha Agung OANA, turut akan mengambil bahagian dalam mesyuarat terbabit.

Pada mesyuarat itu Cho akan membentangkan mengenai persiapan Yonhap untuk mengadakan perhimpunan agung OANA di Seoul yang dijadual pada 6 hingga 9 Nov. Yonhap dipilih menggantikan Azertac pada November 2016 pada perhimpunan agung OANA ke-16 di Baku, Azerbaijan. – Bernama