Mesyuarat fokus pelaksanaan kod anti doping dunia 2021

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Agensi Anti Doping Sedunia (WADA) melalui Pertubuhan Anti Doping Serantau Asia Tenggara (SEARADO), kelmarin, telah mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga SEARADO bagi Tahun 2020 secara dalam talian yang memfokuskan kepada pelaksanaan Kod Anti Doping Dunia (WADC) 2021 yang akan dilancarkan pada 1 Januari 2021, serta Pelan Strategik WADA dan SEARADO 2021-2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Anti Doping Brunei Darussalam (BDADC), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), mesyuarat yang sepatutnya diadakan di Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah tetapi diubah kepada mesyuarat dalam talian disebabkan oleh pandemik COVID-19, telah dihadiri oleh perwakilan daripada WADA, SEARADO dan ahli-ahli Lembaga SEARADO dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Filipina, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Negara Brunei Darussalam melalui BDADC telah diwakili oleh Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN), Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail selaku timbalan pengerusi BDADC dan ahli Lembaga SEARADO.

Turut hadir selaku pemerhati pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi BDADC.

Kenyataan menjelaskan, WADC telah mula diperkenalkan pada 2004 sebagai kod peraturan dalam mengawal selia program dan aktiviti-aktiviti anti doping untuk memastikan kesaksamaan dan kebertanggungjawabannya di seluruh dunia.

Mesyuarat dihadiri oleh perwakilan daripada WADA, SEARADO dan ahli-ahli Lembaga SEARADO dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Filipina, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

WADC ini telah dikemas kini terutama dalam aspek berkaitan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kesalahan doping (ADRV) serta penambahan kepada piawaian antarabangsa bagi Pengurusan Keputusan (ISRM) dan Pendidikan (ISE).

Pengemaskinian berkenaan dibuat untuk pelaksanaan yang lebih komprehensif dalam Program Anti-Doping di seluruh dunia khususnya kepada mereka yang terlibat dalam sukan. WADC pernah dikemas kini dua kali iaitu pada 2009 dan 2015.

Manakala itu, Pelan Strategik WADA dan SEARADO pula merangkumi program pembangunan kapasiti, ujian doping, serta penyelidikan.

BDADC telah ditubuhkan pada 2006 di bawah KKBS bagi merancang dan melaksanakan Program Anti-Doping khususnya bagi Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ahli-ahli BDADC juga pernah ditugaskan di kejohanan-kejohanan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa antaranya Sukan Asia, Sukan SEA, Sukan Antara Universiti ASEAN.