Mesyuarat G20 tumpu krisis hutang

RIYADH, 19 JULAI – Kumpulan negara G20 akan menimbangkan lanjutan tempoh hutang negara miskin yang terkesan akibat COVID-19 pada separuh tahun kedua 2020, kata menteri kewangan negara anggota selepas satu mesyuarat berkaitan pemulihan ekonomi.

Kumpulan 20 negara perindustrian itu mengumumkan penangguhan hutang selama setahun untuk negara miskin pada April, namun ia menerima kritikan pemerhati, yang menyifatkan langkah terbabit tidak memadai bagi mengurangkan kesan pandemik.

Presiden Bank Dunia, David Malpass semalam menggesa inisiatif menangguhkan hutang dilanjutkan sehingga akhir 2021.

Bagaimanapun, pelbagai pertubuhan kebajikan termasuk Oxfam, berkata ia perlu dilakukan sehingga 2022 bagi mengelakkan ‘malapetaka ke atas ratusan juta penduduk’.

Dalam kenyataan terakhir selepas mesyuarat secara maya anjuran Riyadh, menteri-menteri G20 dan ahli perbankan berkata mereka akan menimbangkan kemungkinan memanjangkan tempoh hutang pada separuh tahun kedua 2020. – AFP