Mesyuarat Khas PDI, WEB laksana Program KAMIL

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Pimpinan Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB) telah mengadakan Mesyuarat Khas bersama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi merancang dan melaksanakan Program Kebajikan, Amali, Muhasabah, Istiqamah dan Lutanan (KAMIL) yang telah diadakan di PDI.

Di awal mesyuarat berkenaan Yang Di-Pertua WEB, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don menjelaskan bahawa tujuan mesyuarat khas berkenaan adalah susulan terhadap Program Kolaborasi Keagamaan (PKK) yang telah dirasmikan pelancarannya oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada 22 April lalu yang diikuti dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara setiausaha tetap, KHEU dengan yang dipertua WEB.

Menurutnya lagi, KHEU dan WEB akan bekerjasama dalam melaksanakan tiga program utama yang merangkumi Program Majlis Khatam Al Quran (MKAQ), Program KAMIL dan Program Bantuan Kebajikan Warga Emas (BKWE). Program tersebut akan dilaksanakan untuk jangka masa pendek dalam tiga tahun dan jangka masa panjang dalam lima tahun mengikut keutamaan dan keperluan.

Tujuan program tersebut adalah untuk mengajak dan membawa warga emas mendekatkan diri kepada Allah SWT menimba ilmu, bertukar-tukar pandangan, membuat kajian untuk memohon bantuan kebajikan warga emas termasuk ibu-ibu tunggal.

Sementara itu, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh menyambut baik rancangan berkenaan dan akan memberikan kerjasama yang padu bagi menjayakan PKK tersebut. Oleh itu, perancangan jangka pendek dan panjang akan disusun agar mencapai matlamat dan sasaran WEB dan PDI.

PDI akan memberikan kerjasama dalam menjayakan program tersebut dalam memperbaiki ibadah khususnya solat warga emas dan lain-lain yang sangat berguna dan berfaedah bagi meraih pahala. Rancangan berdakwah ke pedalaman juga akan disusun bersama bagi memberikan kesempatan kepada warga WEB untuk sama-sama mengalami pengalaman berdakwah di pedalaman sekali gus akan dapat menyemarakkan lagi dakwah di Negara Brunei Darussalam.

Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar turut menyatakan, bagi menjayakan Program KAMIL, PDI akan merangka dan menyusun Program Khas Amali Ibadah dan Program Berdakwah ke Pedalaman serta Program Ceramah, Motivasi Kebajikan, Muhasabah dan Istiqamah secara berperancangan.

Jawatankuasa Tadbir Tertinggi WEB juga telah membentuk pasukan 1 PKK Program KAMIL agar dapat memberikan kerjasama dengan PDI dalam merancang, mengurus dan menjayakan Program KAMIL iaitu seramai 902 orang ahli-ahli WEB dan 1,100 orang ahli-ahli MKAQ akan mengikuti Program KAMIL secara bergilir-gilir dan bertahap.

Wakil daripada Pusat Dakwah Islamiah semasa mesyuarat bagi merancang dan melaksanakan Program KAMIL.
Pertubuhan WARGAMAS Brunei ketika mengadakan Mesyuarat Khas berkenaan.