LONDON, 21 DIS – Perdana Menteri Boris Johnson mempengerusikan satu mesyuarat krisis hari ini tatkala sejumlah besar negara menyekat penerbangan dari Britain disebabkan varian koronavirus baharu yang amat mudah merebak yang dikatakan oleh UK ‘sudah menjadi tidak terkawal.’
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menggesa langkah pembendungan lebih ketat dilancarkan di seluruh Eropah, yang telah melepasi 500,000 kematian akibat COVID-19.
Di London, Johnson mengadakan mesyuarat jawatankuasa kecemasan COBR untuk ‘membincang situasi berhubung perjalanan antarabangsa, terutamanya aliran pengangkutan masuk dan keluar dari UK,” kata jurucakap.
Puluhan negara Eropah telah pun mengharamkan penerbangan dan pelawat dari Britain, dengan lebih banyak dijangka mengambil tindakan.
Pihak berkuasa kesihatan di bekas jajahan Britain Hong Kong berkata penerbangan UK akan diharamkan mulai esok.
Negara transit penting Perancis bertindak menghalang rakyat dan barangan daripada menyeberangi Selat, sementara Belanda berkata penumpang yang tiba dengan feri tidak dibenarkan masuk. Pengharaman dikenakan tatkala syarikat bergegas untuk memindah barangan dengan beberapa hari tinggal apabila Britain bakal keluar dari struktur perniagaan Kesatuan Eropah susulan Brexit.
Lewat semalam, pelabuhan pantai selatan Britain Dover berkata ia akan ditutup kepada semua pengangkutan dan penumpang disebabkan sekatan sempadan Perancis ‘sehingga notis lanjut.’
Kebimbangan meletus di seluruh Eropah apabila varian virus yang lebih mudah berjangkit nampaknya sedang menular di sebahagian kawasan Britain. – AFP































