Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Mesyuarat MMN ke-18 bermula 24 Feb ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Istiadat pembukaan rasmi pertama dari Musim Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan berlangsung pada 24 Februari ini di Bangunan Dewan Majlis.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi, dengan pengurniaan titah sebagai bermulanya mesyuarat pertama permesyuaratan MMN itu.

    Menurut kenyataan yang diterima di sini, persidangan akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

    Persidangan pada tahun ini akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang (2022) Perbekalan, 2022/2023, melalui tiga peringkat sebelum ianya dapat diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April 2022.

    Kenyataan menjelaskan, memandangkan situasi penularan yang masih membelenggu negara, prosedur operasi standard (SOP) akan diikuti pada permesyuaratan itu termasuklah penggunaan ujian pantas antigen (ART), pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, menggunakan aplikasi BruHealth dan mengamalkan kebersihan serta tidak
    hadir jika terdapat simptom-simptom flu.

    Ia merupakan satu platform bagi ahli-ahli MMN sebagai wakil kepada suara rakyat di dalam mengetengahkan isu-isu nasional dan membahaskan perkara-perkara utama yang strategik, meneliti dan menyumbangkan idea-idea kepada polisi serta dasar-dasar kerajaan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

    Ahli-ahli MMN seramai 36 orang terdiri daripada ahli rasmi kerana jawatan, orang-orang bergelar, orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan dan wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah Negara Brunei Darussalam.

    Walau bagaimanapun, persidangan tahun ini dibukakan dengan jumlah kapasiti terhad dan orang ramai bolehlah mengikuti rakaman persidangan melalui saluran RTB Perdana dan Sukmaindera pada jam 9 malam dan 10:40 malam. Laporan juga boleh dibaca melalui laman sasawang rasmi Majlis Mesyuarat Negara, www.majlis-mesyuarat.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...