Oleh Yusrin Junadi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan pada 16 dan 17 September lalu di Vientiane, Laos.
Siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Laos, termasuk Mesyuarat AEM ke-56 – Mesyuarat Majlis Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-38, Mesyuarat AEM ke-56 – Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-27, Perundingan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) ke-22, dan Mesyuarat AEM ke-56.
Fokus utama mesyuarat adalah permulaan penandatanganan Protokol Kelima untuk Pindaan Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN (ACIA) yang diadakan semasa Mesyuarat AEM ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan.
Menurut kenyataan yang diterima Kementerian Kewangan dan Ekonomi, ACIA yang diperkemas memberikan lebih banyak ketelusan dan kepastian kepada pelabur mengenai rejim pelaburan di ASEAN, yang dapat menarik lebih banyak pelaburan ke rantau tersebut, termasuk pengembangan skop ACIA di luar sektor pelaburan tradisional seperti pembuatan, pertanian, perikanan, perhutanan, perlombongan dan kuari serta perkhidmatan berkaitan.
Mesyuarat AFTA ke-38 telah mengalu-alukan kemajuan positif yang dicatat dalam pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA), terutamanya mengenai pelaksanaan sepenuhnya pengeluaran dan penerimaan Sijil Asal Elektronik (e-Form D).
Selain itu, mesyuarat berkenaan juga mengambil maklum tentang kemajuan baik dalam Rundingan Peningkatan ATIGA, dengan tujuan menyelesaikan rundingan menjelang suku pertama 2025. Dalam hal itu, mesyuarat menegaskan komitmen ASEAN untuk memastikan bahawa ATIGA yang diperkemas akan menjadi moden, komprehensif dan lebih responsif terhadap pembangunan serantau dan global.
Menyedari kepentingan mencapai rantau yang lestari, menteri-menteri Mesyuarat AEM, Mesyuarat Majlis AIA ke-56 menyambut baik kemajuan Garis Panduan Pelaburan Lestari ASEAN (ASIG) yang dijadualkan untuk dimuktamadkan pada 2024.
Sementara itu, mesyuarat juga membincang Laporan Pelaburan ASEAN 2024 yang memberikan penilaian terhadap landskap pelaburan dalam ASEAN sepanjang dekad lalu serta cadangan dasar khusus untuk tempoh selepas 2025.
Selain itu, Kertas Dasar mengenai Cukai Minimum Global dan implikasinya terhadap insentif dan promosi pelaburan di rantau berkenaan turut dibincangkan.
Mesyuarat AEM ke-56 juga menekankan usaha ASEAN yang berterusan untuk memperkukuh agenda integrasi ekonomi walaupun menghadapi cabaran ekonomi global di mana ekonomi ASEAN berkembang 4.1 peratus pada 2023 dan dijangka mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.6 peratus dan 4.7 peratus pada 2024 dan 2025.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan beberapa inisiatif kelestarian ASEAN seperti Strategi ASEAN untuk Carbon Neutrality, Kerangka Ekonomi Bulat dan Kerangka Ekonomi Biru ASEAN dalam usaha menjadi rantau mampan dan berdaya tahan.
Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapannya menegaskan bahawa persekitaran yang lestari telah dan akan terus menjadi salah satu aspirasi dasar Brunei Darussalam, dengan mengiktiraf peranan penting inisiatif kelestarian dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan dinamik.
Yang Berhormat Dato juga mengiktiraf kemajuan baik yang dicatat seperti Rundingan Peningkatan ATIGA yang mengambil kira elemen ekonomi bulat dan penubuhan Pasukan Petugas ASEAN untuk Carbon Neutrality.
Sebagai persediaan untuk Mesyuarat AEM ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan, pegawai kanan ekonomi ASEAN telah membincangkan secara meluas kemajuan Hasil Ekonomi Utama di bawah Pengerusian Laos pada 2024 dan Dasar Utama Tahunan yang jatuh di bawah bidang kuasa AEM dan kerjasama ekonomi berterusan dalam ASEAN dan rakan luar.
Turut hadir di mesyuarat tersebut Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, selaku Pegawai Kanan Ekonomi bagi Brunei Darussalam.