Mesyuarat persiap sambutan Aidiladha

Oleh Nurdiyanah R.

 

TUTONG, 9 Ogos – Sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau telah mengadakan mesyuarat bagi ibadah korban tahun 1439H / 2018M di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir, yang juga selaku pengerusi majlis berkenaan.

Semasa sesi pemesyuaratan tersebut, ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Ibadah Korban bagi Kampung Danau telah mempelawa penduduk kampung menyertai ibadah tersebut secara bayar ansuran selama 10 bulan iaitu suatu cara yang memberi kemudahan kepada yang berhajat menyertainya.

Antara yang hadir semasa mesyuarat bagi persediaan Majlis Ibadah Korban 1439H/2018M Kampung Danau.

Dalam pada itu, pada tahun ini sebanyak dua ekor kerbau akan disembelih bagi majlis ibadah korban itu nanti.

Adapun acara ibadah korban ini sememangnya merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan MPK Danau yang mana ia bermatlamat untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan pemberian sedekah kepada insan-insan yang kurang berkemampuan, di samping meningkatkan penghayatan nilai-nilai keislaman melalui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS berserta menyelami hikmah-hikmah yang terkandung dalam perlaksanaan ibadah tersebut.