Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat Sambutan 50 tahun Gema Dari Menara

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar ihsan FITREE

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Filem cereka pertama Brunei, Gema Dari Menara (GDM) diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama Brunei dalam tahun 1968 bakal meraikan ulang tahun yang ke-50 tahun dan Badan Penyelenggara Imbas Kembali Filem Pertama Brunei telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi menganjurkan majlis imbas kembali filem tersebut.

    Sehubungan itu, badan penyelenggara berkenaan telah mengadakan Mesyuarat Sambutan 50 Tahun Filem Gema Dari Menara yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, pagi hari ini.

    Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar, pelakon utama dan pengurus produksi filem GDM merupakan pengerusi sementara badan tersebut yang telah mendapat izin daripada KHEU bagi menganjurkan majlis imbas kembali filem tersebut dan juga sebagai mengingati genap 50 tahun filem berkenaan sejak tayangan perdananya pada 23 Oktober 1968 di Panggung Boon Pang Baharu.

    Perjumpaan itu antara lain membincangkan sebab filem tersebut perlu dikenang, situasi bahan filem tersebut, penerimaan masyarakat Brunei terhadap filem berkenaan terutamanya generasi muda masa kini dan pelantikan ahli jawatankuasa Badan Penyelenggara Acara Imbas Kembali Filem Gema Dari Menara.

    Pengiran Haji Abbas memberitahu bahawa tayang ulang eksklusif akan diadakan pada Oktober depan dengan diikuti sesi apresiasi iaitu dialog yang akan membincangkan tentang tujuan pembikinannya, cabaran dan pengalaman semasa pembikinan, penerimaan masyarakat Brunei pada masa itu dan harapan tentang penerangan melalui filem pada zaman sekarang.

    Antara tenaga kerja GDM bergambar ramai bersama sejarawan dan budayawan serta keluarga pelakon GDM.

    Dalam menyokong acara berkenaan, Presiden Persatuan FITREE, Awang Harlif bin Haji Mohamad yang juga seorang pengarah filem tempatan berkata, “Sebagai persatuan filem dan teater yang berdaftar, FITREE menyokong usaha menganjurkan majlis imbas kembali Filem GDM ini kerana kami yang juga terdiri daripada penggiat-penggiat filem tempatan Brunei merasa bangga bahawa sejarah filem Brunei dimulakan dengan filem yang berunsurkan ajaran agama Islam sesuai dengan falsafah negara”.

    Antara tenaga kerja GDM yang hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Salia Dato Paduka Haji Mohd Tarif bin Pehin Orang Kaya Perdana Wangsa Haji Muhammad yang memegang watak Hassan; Dato Paduka Haji Abdul Saman bin Kahar selaku penulis skrip asal; Dato Haji Mahmud bin Bakyr sebagai pengkritik filem; Pengiran Haji Yassin penyanyi lagu tema GDM; Dayang Aishah binti Mohd Noor yang memegang watak Samsiah dan Awang Abdul Razak bin Haji Manggong selaku pemimpin kugiran Dendang Teruna.

    Turut hadir ialah narasumber Dr Haji Mohd Hadi Melayong selaku sejarawan dan Awang Zefri Ariff selaku budayawan di samping ahli keluarga pelakon GDM dan ahli persatuan FITREE.

    Majlis imbas kembali filem GDM ini juga diharapkan menjadi satu suntikan semangat bagi penggiat seni filem tempatan mempertingkatkan perfileman Brunei sebagai medium penerangan berkesan serta untuk memajukan perfileman sebagai industri kreatif yang mampu memberi sumbangan kepada kemajuan ekonomi Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda