Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 Tahun akan diadakan pada 29 Julai depan.
Perkara ini adalah antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim itu membincangkan mengenai persediaan dan perkembangan Majlis Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia tahun ini bagi Daerah Brunei dan Muara.
Awang Misle juga mengongsikan kepada semua jawatankuasa mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan pada mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, mesyuarat kedua ini membincangkan kembali perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat pertama iaitu memberi keutamaan kepada penglibatan belia dalam sambutan pada tahun ini, melibatkan keseluruhan lapisan rakyat dalam menyatupadukan lagi rakyat.
Selain itu, memanfaatkan keseluruhan penglibatan belia dari segi tenaga dan sebagainya, memantapkan lagi keharmonian dan jati diri serta kasih sayang di kesemua lapisan rakyat, pengurusan sambutan harus berpandukan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menjaga kebersihan sebelum, semasa dan selepas acara.
Awang Misle turut mengongsikan bahawa, upacara pengibaran bendera besar akan diadakan pada 1 sehingga 31 Julai.
Manakala itu, Adat Istiadat Perbarisan Kehormat akan berlangsung pada 15 Julai dan solat fardu berjemaah, membaca surah Yasin dan Doa Kesyukuran pula akan diadakan pada 14 Julai dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.