Mesyuarat tahunan persatuan Fuzhou Shiyyi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Persatuan Fuzhou Shiyyi pada baru-baru ini telah mengadakan Mesyuarat Tahunan, di mana seramai 88 orang ahli dan lapan orang ahli pengurusan eksekutif telah menghadiri mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna JT, Persatuan Fuzhou Shiyyi, Berakas.

Pada mesyuarat tersebut, Jackson Ting Jack Hing dan Dr Andy Lau Sie Chuong telah dilantik sebagai presiden dan timbalan presiden Persatuan Fuzhou Shiyyi.

Pada masa yang sama, persatuan berkenaan juga melantik Raymond Ting Sie Kiong, Ting Tiaw Khing, Chieng Ing Nang dan Wong Nan Luk sebagai penolong presiden, manakala Luke Lau Kong Chiong sebagai setiausaha terhormat dan Tiang Chin Kuang dilantik sebagai bendahari. Selain itu, mesyuarat tersebut juga meluluskan pelantikan Ting Tiu Peng sebagai penasihat sepanjang hayat eksekutif terhormat dan Dato Gilbert Tiong sebagai penasihat eksekutif terhormat.

Manakala Ketua Liga Wanita diketuai oleh Hwong Siew Nyee dan buat pertama kalinya Chaterine Hii dilantik sebagai ketua Liga Belia persatuan tersebut.

Menurut Jackson Ting, yang dilantik sebagai presiden untuk kali ke-4 bagi empat tahun berturut-turut, beliau akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk mengembang majukan lagi persatuan berkenaan.

Menurutnya lagi, sebagai ketua persatuan juga perlu mengambil inisiatif kepada tanggungjawab sosial, meningkatkan kualiti perkhidmatan, meningkatkan suasana sosial dan mempromosikan hubungan sosial ke arah yang terbaik.

Beliau juga berharap, para belia persatuan tersebut akan terus menyertai apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan terutama sekali Liga Belia dan Wanita.

Sesi bergambar ramai selepas Mesyuarat Tahunan Persatuan Fuzhou Shiyyi.