Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Mesyuarat tergempar EU berkaitan tenaga September depan

    PRAGUE, 29 OGOS – Menteri Tenaga dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan rundingan segera pada 9 September, kata seorang menteri Czech hari ini, ketika harga meningkat di seluruh Eropah susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    “Saya akan mempengerusikan satu mesyuarat luar biasa Majlis Tenaga. Kami akan bertemu di Brussels pada 9 September,” kata Menteri Industri dan Perdagangan Czech Jozef Sikela dalam satu kenyataan. “Kita mesti memperbaiki pasaran tenaga. Penyelesaian melalui rundingan di peringkat EU adalah yang terbaik yang kita ada,” kata Sikela.

    Mesyuarat itu dibuat ketika blok 27 negara itu cuba melepaskan pergantungan kepada bekalan minyak dan gas Rusia berikutan serangan Moscow ke atas Ukraine. Pengurangan bekalan dan kebimbangan mengenai masa depan telah mencetuskan kenaikan yang melonjak tinggi terhadap harga tenaga di seluruh Eropah.

    Pada Jumaat, Jerman dan Perancis melaporkan rekod harga elektrik dengan kontrak tahun hadapan Jerman melonjak kepada 995 euro setiap megawatt sejam manakala nilai setara Perancis melonjak melepasi 1,100 euro, berbanding 85 euro di kedua-dua negara tahun lepas.

    Suruhanjaya Eropah merancang untuk mengurangkan kebergantungan EU kepada gas Rusia sebanyak dua pertiga tahun ini dan menamatkan pergantungannya pada bekalan bahan api Rusia sebelum 2030.

    EU telah menyasarkan sektor tenaga Rusia dalam sekatannya yang mengharamkan import arang batu dari Rusia. Rancangannya untuk mengurangkan penggunaan gas 15 peratus bagi menangani krisis harga tenaga berkuat kuasa awal bulan ini. Matlamatnya agar EU dapat meningkatkan rizab gasnya tepat pada masa untuk musim sejuk.

    Negara-negara EU melancarkan kempen penjimatan kuasa untuk mengawal bil yang melambung tinggi, termasuk mengurangkan penggunaan penghawa dingin dan mematikan skrin pengikla-nan pada waktu malam. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...