Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menjadi pengerusi kepada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial (SOMSWD) dengan penganjuran Mesyuarat SOMSWD ke-20 dan Mesyuarat-mesyuarat Yang Berkaitan pada 4 hingga 6 Disember melalui persidangan video.
Mesyuarat tersebut membawa tema Memperkukuhkan Kerjasama untuk Memajukan Hak dan Kebajikan Orang Berkelainan Upaya (OKU).
Sementara itu, Mesyuarat SOMSWD ke-20 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Plus Three mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial (SOMSWD+3) ke-19 telah diadakan pada 5 hingga 6 Disember.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Antara pencapaian yang dijangka bagi Brunei Darussalam selaku pengerusi termasuklah Mid-Term Review and the End-Term Review of the SOMSWD Work Plan 2021-2025; the Development of the SOMSWD Work Plan 2026-2030; dan the Development of the next ASEAN Enabling Masterplan.
Selain itu antara perkara yang dibincangkan tentang status pelaksanaan rangka kerja-rangka kerja utama serantau yang diterajui oleh SOMSWD, status pelaksanaan projek-projek di bawah Pelan Kerja SOMSWD 2021-2025, dan perancangan untuk membangun Pelan Kerja SOMSWD 2026-2030; serta mengambil maklum bidang sokongan dan kerjasama yang berpotensi dalam agenda kebajikan sosial dan pembangunan dengan beberapa rakan pembangunan serantau.
Semasa Mesyuarat SOMSWD+3 ke-19, mesyuarat telah mengambil maklum mengenai kerjasama yang sedang berjalan dan yang berpotensi untuk dijalankan bersama negara-negara ASEAN Plus Three di peringkat serantau dan negara, terutamanya dalam bidang ekonomi penjagaan, perlindungan sosial, penuaan populasi dan penyertaan OKU.
Sebelum kedua-dua mesyuarat berkenaan, Forum GO-NGO mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial (GO-NGO Forum) ke-19 telah diadakan secara dalam talian pada 4 Disember, yang berfungsi sebagai platform pelbagai pihak berkepentingan dan tempat bagi negara-negara ahli ASEAN, NGO, sektor swasta, akademik dan pihak berkepentingan yang relevan untuk menilai keadaan semasa mengenai perlindungan sosial di ASEAN.
Forum tahun ini memberi tumpuan kepada tema, mengenai pentingnya memperkukuhkan perkongsian antara dan dalam kalangan pihak berkepentingan yang relevan sebagai faktor yang membolehkan untuk mempromosikan hak dan kebajikan OKU.
Forum dipengerusikan bersama oleh Hajah Nor Ashikin sebagai Pengerusi SOMSWD dan Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan OKU, Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi NGO, dengan sokongan kerjasama daripada Forum Orang Kurang Upaya ASEAN (ADF).
Forum ini dihadiri oleh lebih 100 peserta dalam talian, terdiri daripada pegawai-pegawai fokal SOMSWD, wakil dari negara-negara ASEAN Plus Three, wakil dari Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN.
Semasa sesi pembukaan Forum GO-NGO ke-19, Hajah Nor Ashikin mengakui bahawa perkongsian yang kukuh, dinamik dan merentas sektor adalah penting dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh OKU.
Kerjasama dan perkongsian antara kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan OKU serta keluarga mereka, adalah penting agar OKU dapat diperkasakan untuk berkembang dan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam semua aspek kehidupan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang inklusif untuk orang kurang upaya.