Thursday, August 11, 2022
23.3 C
Brunei

Meta teroka teknologi kesan penipuan dalam talian

-

KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Meta Malaysia sedang membangunkan teknologi peralatan dan keselamatan bagi memastikan pengguna aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan dalam talian.

Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata usaha berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Meta dalam membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah berkenaan yang merekodkan kerugian sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh 2020 hingga Mei lepas.

Katanya, pihaknya telah melabur bagi meneroka teknologi pengesanan yang meluas dengan menggunakan kombinasi pemeriksaan dan penyiasatan sama ada menerusi manual atau automatik dilaksanakan secara berskala bagi tujuan itu.

Beliau berkata ini bagi mengesan serta mengambil tindakan ke atas akaun media sosial yang digunakan sindiket penipuan untuk ‘menjerat mangsa’.

“Kami mempunyai lebih 40,000 tenaga kerja yang mengusahakan isu keselamatan dan keamanan dan terdapat kumpulan khusus pemeriksa terlatih yang fokus kepada membanteras kegiatan penipuan yang semakin berleluasa ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif hari ini.

Nicole Tan ketika ditemu bual mengenai pengesanan aktiviti penipuan dalam talian baru-baru ini. – Bernama

Tan berkata selain itu, setiap aplikasi media sosial itu juga mempunyai fungsi lapor bagi memudahkan orang ramai melaporkan kandungan yang tidak bersesuaian.

“Kami juga sediakan panduan berguna untuk orang ramai di laman web #TakNakScam yang boleh dimuat turun, dikongsi dan digunakan sebagai bahan rujukan tentang pelbagai saluran aduan sekiranya tidak pasti tindakan yang patut dilakukan,” katanya.

Selain itu, katanya antara inisiatif baharu Meta ialah memperkenalkan modul pencegahan penipuan ‘We Think Digital’ di peringkat sekolah yang akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

“Setakat ini, seramai 1,900 pelajar telah mempelajari modul penipuan yang boleh disediakan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan dilaksanakan melalui program andalan celik digital Meta melibatkan 200 sekolah,” katanya.

Jelasnya inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk pendidikan orang awam secara imersif iaitu dengan menarik penyertaan orang ramai menerusi format kandungan instagram AR Filters serta mengimbangi pendidikan di antara pengguna dan penjual di laman sosial tersebut bagi memberi kesedaran dan perlindungan kepada kedua-dua pihak daripada menjadi mangsa penipuan.

Menyentuh mengenai kempen #TakNakScam 2.0, Tan berkata pihaknya kali ini memfokuskan kepada lima jenis penipuan dalam talian yang berleluasa iaitu penipuan e-dagang, pinjaman wang haram, penipuan pekerjaan, penipuan pelaburan dan keldai wang. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -