YANGON, 4 Mac – Pihak berkuasa Myanmar merampas lebih 10 juta pil metafetamin bernilai AS$13.3 juta minggu lalu dalam satu operasi besar-besaran di negara yang dipercayai pengeluar metafetamin terbesar dunia.
Pil metafetamin kristal gred tinggi atau dikenali sebagai ‘ice’ diseludup keluar dari Myanmar menerusi jaringan canggih untuk dijual di pasaran termasuk negara luar seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.
Pil berkualiti rendah pula dikenali sebagai ‘yaba’ atau ‘ubat gila’ dikeluarkan untuk pasaran tempatan dan komuniti penagih dadah di negara jiran seperti Thailand serta Bangladesh.
Menurut agensi media rasmi, kesemua pil berkenaan dirampas dalam dua serbuan di barat negara itu minggu lalu, membabitkan kawasan Magway dan Maungdaw di negeri Rakhine.
“Ia adalah rampasan dadah terbesar tahun ini dan terbesar di negeri Rakhine,” kata kolonel polis Win Ko Ko.
Kesemua pil berkenaan dipercayai akan dihantar ke Bangladesh dan menjadi sumber pendapatan mudah pelarian Islam Rohingya yang memenuhi sempadan negara itu sejak operasi tentera pada 2017.
Kebanyakan dadah terbabit bagaimanapun dikeluarkan di bahagian lain Myanmar iaitu negeri Shan di timur negara itu.
Sebahagian besar negeri Shan berdepan pemberontakan bersenjata kumpulan etnik dan kumpulan militan yang berkait rapat dengan rangkaian penyeludupan.
Penanaman candu turut berleluasa di negara terbabit dan Myanmar ialah pengeluar dadah jenis itu kedua terbesar dunia selepas Afghanistan. – AFP

































