Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Sistem Pemeteran Pintar Bergabung (USMS) bukan sahaja akan dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan tetapi pada masa yang sama ia akan menjana pengurusan sumber air dan elektrik yang efisien.
Pengenalan USMS ialah hasil daripada gabungan kemahiran antara sektor awam dan swasta di mana inisiatif itu telah menghasilkan penyelesaian pintar yang merangkumi meter pintar (gambar bawah), pengurusan data meter, pengiraan meter, sistem satu bil serta portal perkhidmatan pelanggan bagi air dan elektrik.
Meter pintar tersebut mempunyai modul komunikasi dua hala untuk menghantar dan menerima data masa sebenar (real-time) termasuk pemberitahuan daripada meter pintar menggunakan SIM 3G dan 4G bagi pemantauan dan bil yang merupakan yang pertama dari jenisnya di Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika berucap di Perasmian USMS yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yussof.


Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menerangkan lanjut bahawa pengguna bukan saja akan meraih manfaat daripada inisiatif berkenan tetapi meter pintar berkenaan akan memperkasakan penggunaan dengan
ketelusan maklumat waktu sebenar, membolehkan mereka untuk menguruskan penggunaan utiliti dan komitmen kewangan dengan lebih baik.
Beliau berkata sebagai sebuah negara, ia akan membantu kita untuk mengatasi beberapa cabaran jangka panjang dengan memastikan pembekalan utiliti secara selamat, mampan dan berpatutan.
Pengenalan ICT dalam industri berkenaan jelasnya lagi, akan meningkatkan keberkesanan pengurusan bekalan di mana bagi air, teknologi dapat membantu mengurangkan air tiada pendapatan seperti kebocoran air dan bagi elektrik, teknologi akan membolehkan pengurusan dan mencatat prestasi serta membantu melaraskan tabiat kesedaran sumber para pengguna.
Integrasi fungsi-fungsi berkenaan yang diperoleh menerusi teknologi pintar akan membawa perubahan kepada keseluruhan ekosistem, ulas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, di mana penyelesaian pemeteran pintar berkenaan akan memperkayakan pengalaman para pelanggan dengan menyediakan bagi mereka mudah-untuk-digunakan serta ketelusan dari segi penggunaan air dan elektrik.
“Agensi-agensi relevan akan dapat memperbaiki pengumpulan bagi mengurus pemulihan hutang lapuk dan untuk mengurangkan, jika tidak penghapusan sepenuhnya, kerugian bukan teknikal seperti kecurian atau gangguan meter.”
Pada masa yang sama, inisiatif ini, kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew akan menjana peluang-peluang pekerjaan yang akan dapat meningkatkan kemahiran sumber manusia tempatan serta pekerjaan sendiri.
Sebagai contoh, jelasnya, DST akan melaksanakan Program Perantis dengan mengambil bakat-bakat teknikal tempatan bagi pemasangan dan penyelenggaraan pemeteran pintar tersebut.
Menurutnya lagi, selepas menamatkan latihan, mereka boleh mendapatkan pekerjaan sepenuh masa atau berkhidmat bebas separuh masa bagi memasang meter dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan.
Terdahulu Pengurus Besar, DST Network Sdn Bhd, Juliana Sim dalam kata alu-aluannya menerangkan bahawa melalui USMS, DST membawa revolusi digital kepada sistem utiliti dengan menyediakan bila waktu sebenar yang terkini serta portal perkhidmatan pelanggan yang terkini.
Untuk menjadikan visi ‘Negara pintar’ menjadi satu realiti, DST akan mengeluarkan lebih 200,000 meter pintar air dan elektrik di seluruh negara di mana DST akan menyediakan latihan teknikal kepada bakat-bakat tempatan supaya dapat menjana pekerjaan teknikal tinggi serta peluang-peluang perniagaan untuk mereka.
Menurut beliau lagi menerusi USMS setiap kediaman di Brunei akan dapat memantau dan mengurus penggunaan air dan elektrik mereka secara atas talian dan apabila diperlukan.
Ia juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah tambah nilai elektronik termasuk aplikasi mudah alih, Kad Easi DST, Top-Up Pihak Ketiga dan menerusi kaunter serta penjual USMS yang diiktiraf di keempat-empat daerah.