Mexico berusaha bantu gelandangan

BANDAR MEXICO – Kerajaan Bandar Mexico menghantar pasukan untuk membantu orang ramai yang terkurung di dalam rumah dan gelandangan ketika pengisytiharan penutupan untuk memerangi koronavirus, kata pegawai berkuasa pada Khamis lalu.

AlmudenaOcejo, setiausaha sosial dan kemasyarakatan di bandaraya itu, berkata program itu bertujuan untuk menghalang orang dari berjalan sambil membenarkan mereka sentiasa bertahan di rumah.

Hal ini kerana negara ini telah menguji individu dalam bilangan yang sedikit untuk virus berkenaan, di mana hanya kira-kira 16,700 ujian telah dilakukan setakat ini di negara yang memiliki 125 juta penduduk. Kerajaan persekutuan mengesyorkan bahawa orang ramai yang memiliki gejala agar terus melakukan pengasingan diri di rumah.

Pekerja-pekerja bandar yang memakai topeng muka mengedarkan pakej bekalan perubatan yang mudah seperti termometer, pembasmi kuman, topeng muka dan paracetamol kepada orang yang telah memanggil talian kecemasan kerajaan untuk melaporkan gejala-gejala yang berkemungkinan penyakit COVID-19.

Pakej telah dihantar setakat ini kepada kira-kira 2,450 orang yang mengalami gejala yang dianggap sebagai selaras dengan jangkitan koronavirus yang berpotensi. Bantuan makanan dan kewangan juga disediakan.

Gambar bertarikh 9 April 2020 menunjukkan seorang lelaki yang memiliki ibu saudara yang mengalami gejala COVID-19 mendapat bantuan bekalan perubatan dan makan yang dihantar oleh seorang pekerja kerajaan, di Coyoacan, bandar Mexico. – AP

Bandaraya itu mengatakan bahawa 180,000 orang telah mengisi borang di talian kecemasan sebagai kes yang berpotensi. Daripada jumlah itu, 250 gejala yang dilaporkan cukup serius untuk menjamin lawatan oleh pasukan perubatan kecemasan, tetapi hanya enam yang dibawa langsung ke hospital. Bandar ini mempunyai 855 kes koronavirus yang disahkan, walaupun Jabatan Kesihatan menganggarkan mungkin terdapat sebanyak 6,000 orang yang dijangkiti di bandar.

Pasukan juga memanggil orang tua yang tinggal bersendirian untuk melihat sama ada mereka mempunyai sokongan kaum keluarga. Jika mereka tidak mempunyai keluarga, mereka akan mendapat lawatan atau diperiksa secara bertelefon.

Pasukan-pasukan lain sedang cuba memujuk 2,000 hingga 4,000 orang gelandangan untuk pergi ke tempat perlindungan, yang sedang diperluaskan. Tempat perlindungan utama di bandar itu mempunyai kira-kira 600 orang yang tidak ada tempat tinggal pada masa sekarang, menghampiri kapasitinya 700 buah katil.

Menurut undang-undang, mereka yang tidak memiliki tempat tinggal tidak boleh dipaksa masuk ke tempat perlindungan, tetapi Ocejo berkata ia telah melihat kesanggupan yang semakin meningkat di kalangan mereka untuk masuk kerana kecemasan kesihatan yang diisytiharkan dan langkah-langkah penjarakan sosial yang dikenakan pada bulan Mac lalu. Ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh pemberian dan pekerjaan-pekerjaan yang ganjil bagi gelandangan bergantung kepada pendapatan yang menjadi susut apabila pejalan kaki menurun dengan cepat.

“Kami menghubungi kira-kira 65 orang sehari,” kata Ocejo mengenai orang yang tidak memiliki tempat tinggal.

“Biasanya, enam atau tujuh orang membuat keputusan untuk mendapatkan perlindungan. Baru-baru ini kita telah melihat 10 atau 12 yang pergi.

Bandar ini sedang memikirkan untuk memperluaskan kapasiti tempat tinggal dengan kemudahan khemah baharu yang memiliki 300 katil di tempat kosong.

“Pegawai-pegawai telah menubuhkan ‘group’ WhatsApp untuk sembilan juta penduduk bandar untuk melaporkan gelandangan-gelandangan yang mungkin memerlukan bantuan. Laporan yang masuk ke laman media sosial itu juga telah meningkat, kata Ocejo.

Di negara di mana usaha-usaha ‘perkhidmatan makanan bergerak’ tidak begitu meluas, dapur kos rendah yang dikendalikan oleh bandar raya dan komuniti yang dikenali sebagai ‘comedorespopulares’ atau ‘comedorescomunitarios’ terus menghasilkan kira-kira 65,000 hidangan sehari.

Kebanyakan pelanggan hari ini membawa pinggan plastik mereka sendiri untuk membawa makanan balik ke rumah, tetapi perkhidmatan makan di setempat masih disediakan untuk gelandangan.

Di seluruh negara, Mexico kini mempunyai 3,441 kes yang disahkan dengan 194 kematian, tetapi kerajaan mengatakan kes yang belum diuji berkemungkinan sekitar 28,000. – AP