LONDON, 10 Mei – Kartel dadah yang kejam menyebabkan Mexico mencatatkan kadar pembunuhan paling tinggi tahun lepas dan kedua selepas Syria, menurut laporan Institut Antarabangsa untuk Kajian Strategik (IISS) yang berpangkalan di London.
IISS melaporkan sebanyak 23,000 kes bunuh direkodkan di Mexico sepanjang tahun lalu berbanding 60,000 kes di Syria yang kini dilanda perang saudara.
“Jarang berlaku insiden keganasan jenayah mencapai tahap hampir sama dengan konflik bersenjata. Namun, ia berlaku di segi tiga utara Amerika Tengah (Honduras, Guatemala, El Salvador) terutama di Mexico,” kata penyelidik IISS, Antonio Sampaio.
Kes yang dicatatkan di tiga negara Amerika Tengah itu mengalami penurunan tahun lalu, namun Mexico menyaksikan peningkatan kes sebanyak 11 peratus dalam tempoh sama.

Sampaio berkata, peningkatan kes itu dipercayai berpunca daripada pengisytiharan yang dibuat oleh Presiden Felipe Calderon, untuk memerangi kartel dadah di negara itu pada Disember 2006.
“Namun, ia menyebabkan konflik yang membawa kesengsaraan kepada Mexico apabila kira-kira 150,000 orang terkorban dalam kes pembunuhan ‘disengajakan’ sejak Disember 2006 hingga November 2012,” kata Sampaio.
Kadar pembunuhan tinggi yang berterusan disebabkan kegagalan Presiden Enrique Pena Nieto memenuhi janjinya untuk menyahtentera usaha memerangi pengedar dadah, dakwa Calderon.
Pada peringkat global, kematian akibat konflik jatuh daripada 167,000 kes pada 2015 kepada 157,000 kes tahun lepas, menurut IISS. – AFP