Mexico perlu ambil langkah drastik pacu ekonomi

BANDAR MEXICO, 16 DIS – Perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara sahaja tidak akan mampu memacu pertumbuhan ekonomi di Mexico, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sebuah badan pemikir sektor swasta kelmarin.

Mexico perlu mengambil langkah tambahan iaitu memodenkan sektor produktifnya, menurut Pusat Kajian Ekonomi Sektor Swasta (CEESP) dalam laporan mingguan badan itu.

“Sebaik sahaja berkuat kuasa, perjanjian itu dijangka memberi impak ketara ke atas pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan,” kata pusat itu merujuk kepada Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).

“USMCA merupakan faktor yang diperlukan (bagi pertumbuhan), namun ia tidak cukup untuk mencapai semua objektif tersebut,” menurut pusat itu, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Penyelarasan Perniagaan (CCE).

“Faktor lain diperlukan untuk membawa pemodenan ekonomi agar peluang yang muncul daripada perjanjian perdagangan bebas itu dapat dimanfaatkan,” menurut pusat itu.

Mexico perlu mengambil langkah untuk merangsang produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran, kata CEESP. – Bernama