Mexico tahan 800 pendatang Amerika Tengah

CIUDAD HIDALGO, MEXICO, 24 JAN – Tentera Mexico menggunakan gas pemedih mata untuk menahan 800 pendatang yang semakin meningkat ke Mexico kelmarin selepas merentasi sungai di selatan negara yang bersempadan dengan Guatemala.

Pasukan Pengawal Kebangsaan di selatan negeri Chiapas menghalang mereka daripada meneruskan perjalanan mereka dengan membentuk benteng manusia di sepanjang jalan, apabila panik meletus di kalangan beberapa pendatang.

Warga Amerika Tengah, yang berjalan kaki menuju ke bandar Ciudad Hidalgo, telah dipintas oleh tentera yang menggunakan gas pemedih mata dan bergelut dengan pendatang untuk menghentikan pergerakan mereka, wartawan AFP di tempat kejadian melaporkan.

Kementerian dalam Negeri kemudian berkata 800 pendatang berasal dari Amerika Tengah telah ‘diselamatkan’ selepas melintasi sempadan di Sungai Suchiate.

Berikutan dengan penahanan mereka, para pendatang dibawa menggunakan bas yang dikendalikan oleh Institut Migrasi National, agensi yang akan menentukan status imigresen rasmi mereka dan pengurusan pengusiran.

Beribu-ribu warga Amerika Tengah telah melintasi Mexico untuk memasuki AS menggunakan karavan beberapa tahun kebelakangan ini, yang melarikan diri daripada kemiskinan kronik dan keganasan kumpulan kejam di El Salvador, Guatemala dan Honduras. – AFP

Anggota Pengawal Kebangsaan Mexico ketika bergelut dengan pendatang Amerika Tengah, kebanyakannya warga Honduran menuju ke AS dalam karavan di Ciudad Hidalgo, Chiapas State, Mexico. – AFP