TIJUANA, Mexico, 27 Nov – Mexico menghantar pulang para pendatang Amerika Tengah yang telah diberkas selepas beratus-ratus orang mencerobohi sekatan polis Mexico dan menuju Amerika Syarikat (AS) tetapi berdepan gas pemedih mata dan peluru getah.
Kira-kira 500 orang terdiri daripada, lelaki, wanita dan kanak-kanak, sebahagian daripada rombongan yang telah berjalan jauh menuju AS selama beberapa minggu dan bergegas-gegas memanjat pagar besi dan mememasuki dasar sungai konkrit menuju San Diego Ahad lalu.
Kumpulan itu dihalang oleh pagar berantai yang terdapat dawai berduri di atasnya dan ejen-ejen Peronda Sempadan AS melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah. Seorang lelaki mengalami kecederaan.
Ketua Ejen Peronda Rodney Scott memberitahu CNN bahawa jumlah pendatang sangat ramai, terutama sekali lelaki telah berjaya menyeberang dan 42 orang daripada mereka telah ditangkap.
Pesuruhjaya Institusi Migrasi Kebangsaan Mexico, Gerardo Garcia mengesahkan 98 penangkapan telah dibuat di negaranya dan berkata, ‘penghasut’ dalam kalangan rombongan pendatang tersebut mendorong orang ramai untuk menyeberang sempadan secara haram.

Kejadian itu merupakan yang paling serius dalam krisis beberapa minggu dan digunakan oleh Presiden AS Donald Trump untuk melobi bagi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Trump membidas dengan mengancam penutupan kekal sempadan dan mempertahankan penggunaan gas pemedih mata oleh peronda sempadan AS, dengan mengatakan ia adalah ‘sangat selamat.’
“Mereka terpaksa menggunakannya kerana mereka dirempuh oleh beberapa orang dan mereka menggunakan gas pemedih mata dan perkara paling penting adalah, tidak ada sesiapa yang datang ke negara kami melainkan mereka datang secara sah,” Trump memberitahu para pemberita.
“Gas pemedih mata adalah bentuk paling kecil gas pemedih mata itu sendiri. Ia sangat selamat,” tambah beliau.
Mexico telah menghantar nota diplomatik yang meminta pihak berkuasa AS menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian itu yang mana senjata AS tidak berbahaya telah digunakan di Mexico. – AFP































