MFL impi Piala Malaysia diserikan kehadiran penonton

KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menaruh harapan saingan Piala Malaysia yang akan bermula 25 Sept ini akan diserikan dengan kehadiran penonton di stadium.

Presidennya Datuk Ab Ghani Hassan berharap permohonan MFL untuk mendapat kebenaran kehadiran penyokong ke stadium diberi pertimbangan sebaiknya selepas pengumuman kelonggaran baharu oleh kerajaan bagi sektor sosial dan sukan.

Sempena Piala Malaysia menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya musim ini, Ab Ghani menyifatkan kehadiran semula penonton di stadium akan menjadikan kejohanan yang mempunyai nilai cukup tinggi dalam sejarah bola sepak negara itu lebih bermakna.

“Pastinya sesuatu yang menarik jika penyokong-penyokong dibenarkan masuk ke stadium dengan kapasiti tertentu serta SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2021 di laman Facebook MFL, hari ini. – Bernama