MFL lancar jongkong emas Piala Malaysia

PETALING JAYA, 25 NOV – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels hari ini melancarkan Set Kenang-Kenangan Edisi Terhad yang didatangi dengan jongkong emas eksklusif seberat 0.5 gram sempena ulang tahun ke-100 penganjuran kejohanan bola sepak berprestij negara, Piala Malaysia.

Edisi terhad sebanyak 999 set dilancarkan untuk menjadi koleksi peminat sukan nombor satu negara itu bagi mengabadikan sambutan 100 tahun kejohanan bersejarah yang memulakan saingan pada Ogos 1921 sebagai Piala Malaya sebelum ditukar nama kepada Piala HMS Malaya pada 1933 dan dikenali sebagai Piala Malaysia pada 1967.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada Piala Malaysia, malah turut membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama MFL dalam mengkomersialkan kejohanan bola sepak tertua di Asia itu.

“Ini merupakan kerjasama yang amat baik sempena 100 tahun Piala Malaysia, apa lagi ia melibatkan industri lain seperti emas, penanda aras ini menggambarkan MFL tidak menutup pintu kepada siapa sahaja yang ingin berkongsi idea bersama pihak kami.

Perkara ini menunjukkan MFL bukan sahaja menumpukan dari segi penajaan tetapi juga dalam bidang yang lain bagi meningkatkan nilai komersial MFL,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Set Kenang-Kenangan Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia di Ibu Pejabat MFL di Kelana Jaya, di sini, hari ini. – Bernama

Reka bentuk Bar Emas edisi terhad yang dipamerkan pada Pelancaran Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia. – Bernama