MG HS Grand Deluxe edisi mewah

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Sejak diperkenalkan di pasaran Brunei oleh GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar dan pengimport kenderaan jenama MG Motor, MG HS edisi Comfort dan Deluxe telah laris terjual.

Oleh itu, dengan permintaan yang tinggi daripada pembeli, GHK Motors telah membawakan model HS dengan spesifikasi yang lebih mewah iaitu MG HS Grand Deluxe.

HS menampilkan estetik rekaan premium dan Euro-centric, bahan-bahan yang cantik dan peralatan standard bertahap tinggi di seluruh barisannya,

Ini termasuk set bantuan pemandu MG Pilot dan apabila digabungkan dengan ciri keselamatan, teknologi dan hiburan yang canggih, HS mewujudkan definisi baharu bagi gaya mampu milik bagi mereka yang mencari alternatif berkualiti tinggi untuk pilihan konvensional dalam kategori SUV keluarga peringkat pertengahan hingga besar.

Sementara itu, Grand Deluxe pula lebih memfokuskan kepada aspek mewah dan keselesaan MG HS dengan ciri-ciri menarik dan diinginkan seperti pencahayaan ambien berbilang warna di bahagian dalam, kerusi sport dua tona, sunroof panoramik dan penyesuaian kerusi elektrik, menjadikannya kemewahan mampu milik bagi pelanggan.

Diramalkan menjadi SUV paling bergaya jenama berkenaan dengan rating keselamatan ANCAP lima bintang, MG HS menggabungkan rekaan terkini MG dan ciri-ciri futuristik seperti lane departure warning, pengesanan titik buta, kamera 360 darjah dan paparan skrin sesentuh 10 inci.

Barisan MG HS boleh disaksikan dan tersedia bagi uji pandu di Bilik Pameran MG GHK Motors.

MG HS Grand Deluxe menampilkan ciri-ciri lebih mewah berbanding dua model MG HS lain.