MHC teliti calon jurulatih hoki wanita

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) akan mengadakan satu lagi sesi temu ramah bersama empat calon terakhir bagi jawatan jurulatih hoki wanita kebangsaan Malaysia, sebelum menentukan calon terbaik untuk jawatan itu.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pada kali ini panel MHC akan disertai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengawai Eksekutif Institut Sukan Negara Ahmad Faedzal Md Ramli, untuk sesi penilaian terakhir.

“Dua calon tempatan dan dua calon dari luar negara akan ditemu ramah secepat mungkin (menerusi sidang video), bagi membuat penilaian terakhir jawatan jurulatih itu, sebelum minggu ketiga bulan ini supaya yang terpilih itu nanti boleh mulakan kerjanya pada September.

“Kami juga dalam proses melantik pengarah teknikal yang baru untuk skuad projek Sukan Asia 2026, supaya beliau akan menyertai panel pemilihan tersebut,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penyambungan kerjasama tajaan bersama QNET di Kinrara Resort di sini hari ini. – Bernama