Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    MHG kaji sejarah perang untuk rujukan dan dihayati generasi muda

    KUALA LUMPUR – ‘Mayday! Mayday! Mayday! We are going down’. Isyarat kecemasan yang membawa maksud ‘Tolong Saya’ ini mungkin kata-kata terakhir juruterbang pesawat RAF B24 Liberator KL654 yang berlepas dari Kepulauan Cocos, Australia untuk misi pembekalan semula sebelum terhempas di sebuah hutan terpencil di Negeri Sembilan, ketika Perang Dunia Kedua pada 23 Ogos 1945. Dilaporkan nahas itu turut mengorbankan semua lapan kru di dalam pesawat berkenaan.

    Pencarian bertahun-tahun pesawat pengebom milik tentera British itu akhirnya membuahkan hasil apabila bangkai pesawat dan cebisan tulang kru akhirnya ditemui di Gunung Telapak Buruk yang terletak di antara Kampung Ulu Klawang, Jelebu dan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan sekitar Disember 1996.

    Penemuan itu seterusnya membawa kepada persemadian tulang kesemua mangsa di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel Cheras, Kuala Lumpur, pada 18 Oktober 2012, hampir 70 tahun selepas kematian mereka, dengan disaksikan waris dan ahli keluarga kru terlibat.

    Kajian ambil masa

    Kisah penemuan pesawat pengebom itu adalah antara sebahagian daripada hasil kajian serta penyelidikan yang dilakukan oleh pengkaji sejarah termasuk Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) yang aktif sejak awal 1990an. Ia bertujuan mengesan tinggalan bangkai pesawat yang dipercayai terhempas di negara ini ketika era Perang Dunia Kedua.

    Menurut Pengerusi MHG, Shaharom Ahmad, persatuan itu yang didaftarkan pada tahun 2020, mengambil pendekatan mengetengahkan kajian berdasarkan peristiwa perang lampau agar masyarakat terutamanya generasi muda hari ini dapat memahami sejarah tanah air terutamanya sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

    Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) Shaharom Ahmad (kanan) menunjukkan memorial pertempuran Kampar selepas merasmikan Batu Peringatan Sejarah Perang Dunia Kedua sempena dengan Ulangtahun ke-81 Pertempuran Kampar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar. – Gambar Bernama
    Bangkai Pesawat pengeboman RAF B-24 Liberator KL654 dilaporkan terhempas pada 23 Ogos 1945 ketika Perang Dunia Kedua. – Gambar Bernama
    Kasut milik seorang daripada mangsa nahas pesawat jenis British Royal Air Force (RAF) Dakota KN630 yang dilaporkan terhempas pada 25 Ogos 1950 di kawasan Gua Musang, Kelantan. – Gambar Bernama
    Shaharom Ahmad (kiri) dan Nor Hisham Zulkiflee (kanan) bergambar bersama selepas meletakkan kalungan bunga pada batu peringatan sejarah Perang Dunia Kedua sempena dengan Ulangtahun ke-81 Pertempuran Kampar. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “MHG menjalankan kajian dan penyelidikan tapak sejarah ketenteraan, merekod dan memelihara tapak sejarah ketenteraan di Malaysia amnya. Sekitar tahun 1990, kami mula menyiasat dan mengkaji kisah sejarah Perang Dunia Kedua sehingga menemukan pesawat tentera yang terhempas di dalam hutan ketika itu.

    “Selain penemuan pesawat B-24, MHG turut terlibat dalam mengesan kapal terbang peninjau Tentera Udara Diraja British (RAF) jenis Dakota KN 630, berpangkalan di Changi, Singapura yang terhempas pada 25 Ogos 1950,”katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pemuliharaan tinggalan sejarah

    Menurut Shaharom, selain menumpukan misi pencarian pesawat tentera era Perang Dunia Kedua, MHG yang mempunyai tujuh orang ahli itu turut merekod artifak serta kubu ketenteraan bagi memulihara tinggalan sejarah itu.

    Antaranya, sebuah kubu perlindungan yang dipercayai dibina sekitar tahun 1941 yang ditemui di kawasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, Perak.

    Kubu berkenaan dipercayai bertujuan membolehkan tentera British berlindung daripada serangan udara sewaktu pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

    Selain itu, persatuan itu turut mengenal pasti tapak pertempuran Perang Dunia Kedua antara tentera British dan Jepun di kawasan seluas 6.47 hektar di Kampar, Perak.

    “Sejak tahun 1995 sehingga kini, MHG berjaya mengesan beberapa tapak pertempuran di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Perang Dunia Kedua.

    “Jadi kita mengambil langkah memasang papan tanda yang mempunyai informasi berkaitan sejarah perang itu di lokasi berkenaan supaya nilai sejarah itu tidak dibiarkan begitu sahaja’’ katanya, menambah MHG turut berhasrat membantu mempertahankan dan menjaga tapak sejarah negara untuk dihayati dan dihargai generasi akan datang.

    Beliau menambah, MHG turut memohon pihak berwajib untuk menggazetkan kawasan bersejarah terbabit sebagai tapak warisan dan pelancongan yang akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pelbagai peristiwa penting sebelum negara mencapai kemerdekaan.

    Ambil tahu sejarah Malaysia

    Sewaktu sesi turun padang, sudah menjadi ‘trademark’ MHG untuk berpakaian lengkap seragam tentera seperti waktu era Perang Dunia Kedua bagi tujuan menarik minat masyarakat terutamanya generasi muda mendalami sejarah negara.

    Menurut Shaharom, inisiatif yang dilakukan persatuan itu mempunyai impak dalam mendorong masyarakat untuk sama-sama menelusuri kisah perjuangan serta pahit getir kehidupan orang terdahulu yang hidup ketika zaman perang.

    Selain mengkaji sejarah, MHG turut aktif mengadakan pameran berkaitan sejarah negara termasuk di sekolah, kolej dan universiti seluruh negara.

    Shaharom berkata, pihaknya mengambil pendekatan demikian bagi memastikan orang ramai diberi pendedahan secara meluas berhubung era penjajahan dan peperangan yang membawa kepada pembentukan negara.

    “Kisah sejarah perjuangan askar Melayu yang berjuang mempertahankan penduduk dan tanah air perlu dikongsi bersama masyarakat supaya mereka sedar tentang pentingnya kemerdekaan yang kita kecapi hari ini. Kami turut berhasrat untuk berkongsi kisah sejarah negara kepada umum menerusi platform media sosial.

    “Peristiwa sejarah perlu diambil iktibar dan dijadikan panduan. Konsep penyatupaduan dalam kalangan rakyat negara ini perlu sentiasa diperkukuhkan supaya negara tidak lagi diganggu anasir luar dan dijajah kembali,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...