Baharu sahaja memasuki episod pertama, penonton drama The Hotel mula bimbang tentang ura-ura pelakon Mira Filzah akan digugurkan pada musim kedua nanti.
Semuanya gara-gara pendedahan penerbit drama The Hotel, Micheal Ang mengenai penampilan Uqasha Senrose sebagai pelakon utama bagi musim kedua.
Namun Micheal yang dihubungi wartawan menjelaskan tiada istilah ‘menggantikan’ Mira Filzah, sebaliknya musim kedua nanti akan menampilkan jalan cerita berbeza dengan kehadiran watak baharu.
“Drama The Hotel ini ada konsep tersendiri.
“Untuk musim pertama memang Mira pegang watak utama tetapi musim kedua nanti Uqasha pula. Tapi bukan bermaksud saya matikan watak Mira. Memang konsep macam itu.

“Untuk musim kedua, penghuni baharu pula masuk. Jadi watak orang lain pula.
“Untuk musim kedua akan ada kaitan dengan pertama tetapi jalan cerita yang berbeza. Pelakon pekerja hotel saja akan ada di musim kedua,” katanya kepada wartawan.
Terdahulu, Mira Filzah yang membawakan watak Raisa menerusi Instagram memberitahu dia tidak terlibat dalam perancangan The Hotel musim kedua.
Malah, Mira atau nama sebenarnya Nur Amira Filzah Badioezaman memberitahu aktres Uqasha Senrose pula akan menerajui drama itu.
“Kejutan, Mike pun dah beritahu dekat IG Live dia tadi.
“Ada The Hotel musim kedua, diterajui oleh Uqasha Senrose. Mira masih lagi ada baki beberapa hari nak habiskan The Hotel musim pertama.
“Kemudian siapa yang terlibat dari musim pertama akan sambung terus musim kedua bersama barisan pelakon baharu,” kata Mira menjawab pertanyaan warganet. – Agensi