Michael Ang ketengahkan bakat baharu

Bakat muda, Aliff Iskandar bertuah dapat mendendangkan lagu runut bunyi untuk drama bersiri, Perempuan Tanpa Dosa berjudul Perit.

Aliff, 20, dipilih menerusi uji bakat pencarian penyanyi baharu untuk lagu tema drama arahan Michael Ang yang menggandingkan pelakon Kamal Adli dan Uqasaha Senrose selaku teraju utama. Michael berkata, dia menerima lebih 100 penyertaan, namun hanya 15 peserta yang terpilih untuk menjalani uji bakat bersama syarikat, Indigital Music Sdn Bhd.

“Pencarian penyanyi lagu runut bunyi untuk drama arahan saya mendapat maklum balas positif daripada ramai penyanyi muda. Bagaimanapun, kami memilih 15 peserta yang berjaya menembusi sesi uji bakat. “Apa yang membuatkan kami teruja apabila Aliff berbakat menghasilkan lagu sendiri. Lagu Perit adalah ciptaannya, manakala liriknya dituliskan oleh Iman Imran. Saya gembira terbabit dalam proses awal hingga lagu ini dikeluarkan secara rasmi.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat mencungkil bakat baharu dengan karya yang lebih segar. Kita memiliki ramai bakat hebat, namun mereka tidak ada ruang. Jadi, inilah ruang yang diberikan untuk membuktikan potensi diri,” katanya kepada media.

Selain lagu Perit, drama Perempuan Tanpa Dosa turut menampilkan satu lagi lagu baharu dendangan Syahmi Irfan berjudul Mungkir. Syahmi, 19, adalah artis baharu naungan Indigital Music yang juga bekas pemain badminton negara. Apa yang menariknya, Syahmi tidak bersendirian mendendangkan lagu Mungkir, sebaliknya berkolaborasi dengan Aufa Hanie yang juga selebriti YouTube. Kedua-dua lagu berkenaan sudah pun berada di semua platform digital sejak 10 Oktober lalu.

Sementara itu, mengulas drama Perempuan Tanpa Dosa, Michael berkata, drama itu memberikan kepuasan kepadanya selaku pengarah.

Drama rantaian itu diadaptasi daripada novel Perempuan Tanpa Dosa karya Fatinilam Sari Ahmad bersiaran di Astro. Michael berkata, jalan cerita yang disajikan menyayat hati penonton. “Naskhah ini berbeza daripada karya terdahulu. Ia mengisahkan seorang lelaki yang terpaksa berkorban hidup berkahwin dengan wanita lain. Dalam masa sama yang sama, terpaksa meninggalkan kekasihnya yang dicintai.

“Banyak plot dan jalan cerita yang menarik perhatian, selain lakonan mantap teraju utama. Ia disiarkan sejak 6 Oktober lalu,” kata Micheal.

Selain Kamal dan Uqasha, drama Perempuan Tanpa Dosa turut dibintangi oleh Yusof Bahrin, Uyaina Arahad, Hilal Azman, Fadilah Mansor, Azza Elite dan ramai lagi. Drama Perempuan Tanpa Dosa menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Kuantan dan Cherating, Pahang. – Agensi

Michael Ang mahu mengetengahkan karya bakat baharu dalam drama terbitannya. – Agensi