Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Michael Ang yakin drama baharu dapat perhatian penonton

    Drama terbaharu berjudul Perempuan Tanpa Dosa gandingan Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang kini ditayangkan mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

    Selaku pengarah drama tersebut, Michael Ang meluahkan rasa syukur dengan sambutan yang diberikan dan mengakui naskhah itu berbeza daripada sebelum ini.

    Kata Michael lagi, drama tersebut bukan sahaja menampilkan barisan pelakon yang hebat tetapi juga menyajikan jalan cerita yang menarik.

    “Naskhah ini begitu berbeza dengan karya terdahulu. Kisah lelaki terpaksa berkorban hidup berkahwin dengan wanita lain.

    “Dalam masa yang sama terpaksa meninggalkan kekasih sendiri. Banyak plot dan jalan cerita yang menarik perhatian selain lakonan mantap pelakon terlibat,” kata Michael.

    Michael Ang meluahkan rasa syukur dengan sambutan yang diberikan terhadap drama baharunya dan mengakui naskhah itu berbeza daripada sebelum ini.- Agensi

    Drama yang diadaptasi daripada novel Perempuan Tanpa Dosa karya Fatinilam Sari Ahmad ini mula ditayangkan awal bulan ini.

    Selain Kamal dan Uqasha, barisan pelakon lain terdiri daripada Uyaina Arshad, Yusuf Bahrin, Zac Zaky, Shaza Bae, Susan Menan, Datin Fadhillah Mansor, Azza Elite dan Mak Wan Latah.

    Dua lagu baharu turut diperkenalkan menerusi drama tersebut yang berjudul Perit nyanyian Aliff Iskandar, 20, manakala Mungkir nyanyian Syahmi Irfan ft Aura Mokhtar, 19.

    Dalam pada itu, Michael memberitahu dia berasa gembira kerana turut terlibat dalam proses awal pencarian penyanyi baharu untuk lagu tema drama itu.

    Katanya, lagu Perit merupakan hasil ciptaan Aliff Iskandar dan lirik ditulis Iman Imran berdasarkan jalan cerita drama tersebut.

    “Karya tersebut memang lagu asal ciptaan Aliff dan kita beri Iman Imran untuk menulis lirik berdasarkan kisah tersebut.

    “Saya gembira kerana terlibat sama dalam proses awal sehinggalah lagu ini dilancarkan secara rasmi. Setidaknya saya dapat mencungkil bakat baharu dengan karya-karya lebih segar.

    “Kita ada ramai orang yang hebat tetapi mereka tidak ada ruang. Kita beri mereka peluang untuk membuktikan potensi diri,” ujarnya. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda