Michael B. Jordan tewaskan John Legend

Pelakon Hollywood, Michael B. Jordan dinobatkan sebagai ‘Sexiest Man Alive’ oleh majalah People.

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan Michael atau nama penuhnya Michael Bakari Jordan menjadi lelaki kulit hitam keempat merangkul gelaran sama selepas Denzel Washington (1996), Idris Elba (2018) dan John Legend (2019).

Mengulas mengenai gelaran itu, bintang berusia 33 tahun itu mengakui berasa senang hati dan teruja dengan pemilihannya.

“Sewaktu saya kecil, nenek saya suka mengumpul muka depan mereka yang mendapat gelaran ‘Sexiest Man Alive’. Dalam masa yang sama ibu serta mak cik saya turut membacanya.

“Ketika itu mereka bergurau dengan mengatakan saya tidak mungkin akan merangkul gelaran ini suatu hari nanti. Tetapi lihatlah kali ini, bila nenek saya melihat saya bersama gelaran itu, dia mengakui cukup bangga dengannya,” ujarnya menerusi temu bual bersama People.

Michael mula menjadi perhatian ramai selepas membawakan watak antagonis sebagai Erik Killmonger dalam filem Black Panther.

Bintang ini juga akan tampil dengan sebuah filem action thriller, Without Remorse tahun hadapan, yang menyaksikan Michael memegang watak sebagai bekas anggota Navy SEAL yang menjadi CIA kerana ingin membalas dendam atas kematian kekasihnya.

Sementara itu, John Legend menerusi akaun Twitter miliknya turut mengucapkan tahniah kepada Michael.

Ujarnya, dia kini tidak lagi perlu bimbang tentang kenaikan berat badan sepanjang tempoh kuarantin ini kerana gelaran tersebut sudah bertukar tangan. – Agensi

Michael B. Jordan mula menjadi perhatian ramai selepas membawakan watak antagonis sebagai Erik Killmonger dalam filem Black Panther. – Agensi